Adik muat naik status 'takdir Allah itu cantik' beberapa jam sebelum maut - kakak - Utusan Malaysia

Adik muat naik status ‘takdir Allah itu cantik’ beberapa jam sebelum maut – kakak

SUHAILAH Mohd. Sanin menunjukkan gambar adiknya, Mohamad Sohaizi Mohd. Sanin yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah bot di Kuala Sungai Mersing, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: “Takdir Allah itu cantik. Allah dah susun perjalanan hidup kita. Berlapang dadalah, reda dengan takdirnya,” tulis pemandu bot yang maut dalam kemalangan di Kuala Sungai Mersing, di sini malam tadi menerusi status WhatsApp miliknya.

Kakak mangsa, Suhailah Mohd. Sanin, 51, berkata, status tersebut dimuat naik Allahyarham Mohamad Sohaizi Mohd. Sanin, 38, beberapa jam sebelum kejadian berkenaan berlaku iaitu kira-kira pukul 8.15 malam.

Menurutnya, status berkenaan seakan-akan memberi petanda serta pesanan buat ahli keluarga dan rakan-rakan supaya reda dengan pemergiannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain status berkenaan, dia juga ada mengirim mesej WhatsApp yang seperti mempunyai mesej tersirat pada 20 Ogos lalu. Dia kata, saya adalah kakaknya di dunia dan akhirat.

“Ketika itu saya tidak rasa apa-apa yang terlalu pelik, cuma saya balas agar dia bekerja elok-elok. Saya juga ingatkan bahawa kita sudah tiada mak dan ayah, hanya tinggal adik beradik.

“Sekarang apabila diingat semula status dan pesanan akhir itu, hati ini rasa sangat sebak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing, di sini hari ini.

Tambah Suhailah, dia menerima perkhabaran tentang kemalangan yang meragut nyawa adiknya itu selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya.

“Arwah merupakan anak keenam daripada lapan beradik seorang yang pendiam, tetapi mahir dalam pertukangan enjin dan meminati pekerjaan di kawasan laut, mengikut jejak langkah ayahnya yang merupakan seorang nelayan.

“Kerja hakikinya adalah membaiki enjin bot, tetapi pada masa sama dia ambil upah membawa bot penumpang secara sambilan. Kami jarang berjumpa kerana saya tinggal di daerah lain, sementara arwah tinggal di Mersing.

“Kali terakhir kami berjumpa adalah ketika sambutan Aidilfitri lalu,” katanya sambil memberitahu jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Tahiriyyah, di sini.

Selain Mohamad Sohaizi, kemalangan itu turut meragut nyawa seorang penumpang iaitu Lee Wei Chung, 32, manakala empat yang lain cedera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini