27 individu ditahan guna WeChat, WhatsApp tawar khidmat seks - Utusan Malaysia

27 individu ditahan guna WeChat, WhatsApp tawar khidmat seks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Taktik berselindung di premis kediaman serta menggunakan aplikasi WeChat dan WhatsApp bagi menawarkan khidmat seks terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menggempur beberapa lokasi di sekitar daerah ini, kelmarin.

Dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan kira-kira pukul 7 malam itu, seramai 27 individu ditahan membabitkan 25 warga asing dan dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada beberapa premis kedai urut serta kediaman yang disalahgunakan untuk aktiviti pelacuran.

“Hasil risikan mendapati khidmat seks itu diiklan menerusi aplikasi seperti WeChat dan WhatsApp dengan kadar bayaran antara RM70 hingga RM180 yang dibayar secara tunai.

“Penggunaan premis kediaman sebagai lokasi aktiviti turut dikesan sebagai taktik menyembunyikan kegiatan haram berkenaan daripada perhatian pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, semakan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 41 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Vietnam; Myanmar; Indonesia; Thailand dan Nepal. Kesemuanya dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Selain itu, sebanyak tiga Borang 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×