PETALING JAYA: Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) memperkenalkan platform MIFC Business Network (MBN) bagi menyelaras bidang tumpuan utama, memperkukuh jaringan antarabangsa serta meneruskan usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global.
Pengerusi MBN, Raja Amir Shah Raja Azwa berkata, Malaysia telah membangunkan antara ekosistem kewangan Islam paling komprehensif dan dihormati di peringkat global sepanjang dua dekad lalu.
Katanya, kekuatan itu perlu dimanfaatkan untuk memperluas jaringan antarabangsa, menarik lebih banyak pelaburan dan kerjasama serta menjana peluang perniagaan rentas sempadan.
“MBN menghimpunkan pemimpin industri untuk menyelaras bidang tumpuan utama dan bekerjasama dengan pengawal selia serta rakan strategik dalam meneroka peluang yang dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kewangan Islam antarabangsa.
“Dalam fasa seterusnya, kami mahu memperluas penyertaan penggerak industri dan bekerjasama dengan lebih banyak institusi yang berkongsi aspirasi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai gerbang utama kewangan Islam global,” katanya dalam kenyataan.
Ahli pengasas MBN terdiri daripada institusi yang mewakili sektor perbankan Islam, takaful dan takaful semula, pengurusan aset serta pembangunan bakat.
Antaranya ialah HSBC Amanah Malaysia, CIMB Islamic Bank, Maybank Islamic, Standard Chartered Saadiq, Etiqa Insurance & Takaful, Swiss Re Retakaful, Franklin Templeton GSC Asset Management, Principal Asset Management, INCEIF University dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia.
MBN turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta pihak berkepentingan daripada sektor awam dan industri bagi mengenal pasti peluang pasaran, memperkukuh kerjasama strategik dan memudah cara inisiatif meningkatkan daya saing Malaysia dalam kewangan Islam global.
Beliau berkata, bersempena ulang tahun ke-20 MIFC, MBN merancang memperluas keahliannya secara berperingkat dengan penyertaan lebih banyak institusi yang komited memajukan agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia.
Katanya, sejak dilancarkan pada 2006, MIFC menyatukan pengawal selia, agensi kerajaan dan penggiat industri di bawah satu agenda nasional, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pusat kewangan Islam utama dunia.
“Evolusi MIFC turut menyaksikan penubuhan MIFC Leadership Council (MLC) pada 2022 bagi memacu pemikiran dan idea strategik serta memangkin pelaksanaan inisiatif untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.
“Selepas MLC menamatkan mandat tiga tahunnya, Gabenor BNM mengumumkan penubuhan MBN pada Forum Kewangan Islam Global pada Oktober 2025,” ujarnya.
Berlandaskan asas yang dibina MIFC, MBN kini akan memacu fasa seterusnya agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia dengan memberi tumpuan kepada penyelarasan industri, pengukuhan jaringan, kerjasama strategik dan peluang perniagaan.
Penyertaan lebih banyak institusi dijangka meningkatkan kepelbagaian perspektif industri, mengukuhkan kerjasama merentas ekosistem kewangan Islam serta membuka lebih banyak peluang perkongsian dan perniagaan rentas sempadan.
Bagi menyokong fasa seterusnya agenda berkenaan, BNM dan SC turut menubuhkan Panel Penasihat MIFC (MAP) untuk memberikan panduan strategik kepada MBN.
Pada mesyuarat sulungnya pada Jun 2026, MAP memperakui kekuatan asas ekosistem kewangan Islam Malaysia dan menekankan keperluan memberi tumpuan kepada pelaksanaan, pengukuhan hubungan antarabangsa serta penghasilan impak perniagaan yang nyata. – UTUSAN










