Dua pelajar maut dalam tembakan sekolah di Filipina

Dua pelajar maut dalam tembakan sekolah di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Seorang pelajar maut ditembak di sebuah sekolah menengah di selatan Filipina hari ini, sebelum suspek yang dipercayai melepaskan tembakan membunuh diri, menurut polis.

Kejadian itu, yang merupakan insiden tembakan kedua di sekolah negara berkenaan dalam tempoh dua bulan, berlaku di Universiti Ateneo de Zamboanga, sebuah institusi pendidikan swasta Katolik di Mindanao barat.

Polis wilayah berkata, seorang pelajar gred 9 membawa pistol dan raifal ke dalam kawasan sekolah sebelum melepaskan tembakan di sebuah bilik darjah, mengorbankan seorang pelajar sebelum mengarahkan senjata ke arah dirinya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan masih dijalankan… Kami masih cuba mengenal pasti motif kejadian,” kata jurucakap polis, Shella Chang, kepada AFP, sambil memaklumkan lokasi kejadian sedang diperiksa.

Jumlah mangsa yang cedera masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, video yang disebarkan media tempatan dan dipercayai disiarkan secara langsung menerusi Facebook memaparkan muncung senjata api bergerak menyusuri koridor sekolah sebelum dihalakan ke sebuah bilik darjah dan melepaskan tembakan.

Rakaman itu kelihatan seolah-olah dirakam dari sudut pandangan orang pertama, menyerupai gaya permainan video penembak.

Pelajar yang memakai seragam sekolah kemudian kelihatan menjerit dan bertempiaran menuju ke pintu keluar. Akaun Facebook suspek yang didakwa melepaskan tembakan itu kini dinyahaktifkan.

“Dalam video itu, kita dapat melihat dia mula-mula menembak seorang guru yang sedang duduk di meja,” kata Datuk Bandar Zamboanga, Khymer Olaso, yang pada awalnya mengenal pasti suspek sebagai pelajar gred 7, kepada sebuah stesen radio tempatan.

“Dia nampaknya tersasar, kemudian bergerak ke bilik lain… Dia menembak seorang lagi pelajar di situ,” katanya.

Pihak sekolah turut mengesahkan dua kematian dalam kejadian berkenaan.

“Kami menyelaras dengan ibu bapa dan penjaga untuk mengambil anak masing-masing, manakala pihak universiti memastikan keselamatan pelajar yang masih berada di dalam kampus,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes tembakan di sekolah jarang berlaku di Filipina, namun tiga pelajar remaja maut manakala 20 lagi cedera dalam kejadian di wilayah tengah negara itu pada Jun lalu.

Bulan lalu, Universiti Ateneo de Zamboanga merupakan antara banyak sekolah di seluruh negara yang menjalankan latihan menghadapi insiden penembak aktif.

Pemilikan senjata api secara sah dikawal ketat di negara Asia Tenggara itu, namun pasaran gelap senjata api masih berleluasa.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini