KOTA TINGGI: Kebakaran melibatkan kawasan lalang di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove di sini telah merebak melibatkan keluasan sekitar 51 hektar hari ini berbanding 29 hektar yang terjejas, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Muhammad Tarmizi Md. Jaafar berkata, setakat 8.30 pagi ini, kira-kira 15 hektar atau 29.1 peratus daripada kawasan berkenaan telah dipadamkan.
“Operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B. Sektor A melibatkan kawasan kebakaran seluas 35.6 hektar, manakala Sektor B seluas 15.8 hektar.
“Operasi ini dijalankan seramai 21 pegawai dan anggota daripada empat Balai Bomba dan Penyelamat, serta dibantu Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan seorang pemandu excavator,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Muhammad Tarmizi, sebanyak 15 aset telah digerakkan bagi membantu operasi pemadaman yang dijalankan selama 24 jam, antaranya termasuklah dua pam angkut dan juga sebuah water tanker.
“Antara cabaran dihadapi adalah keadaan yang berangin, laluan masuk yang sukar, bekalan sumber air yang terhad dan juga cuaca yang panas dan kering.
“Bagaimanapun, tiada mangsa akibat kebakaran ini dilaporkan, selain anggota turut tidak menemukan kawasan nyalaan baharu,” katanya sambil menambah operasi pemadaman masih dijalankan.-UTUSAN











