PARIS: Krisis besar berpotensi melanda bola sepak dunia apabila Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilaporkan akan mengadakan perbincangan tergempar mengenai kemungkinan memboikot Piala Dunia susulan rancangan kontroversi Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjual sebahagian kepentingan komersial kejohanan paling berprestij itu kepada pelabur swasta.
Laporan akhbar The Times mendakwa badan induk bola sepak dunia itu sedang meneliti cadangan menubuhkan sebuah syarikat baharu yang akan menguruskan kepentingan komersial Piala Dunia, dengan nilai dianggarkan mencecah 15 bilion Euro (RM81.75 bilion).
Cadangan tersebut mencetuskan gelombang bantahan dalam kalangan pemimpin bola sepak Eropah yang melihat langkah berkenaan sebagai ancaman terhadap integriti dan masa depan sukan itu.
Kontroversi menjadi lebih hangat apabila laporan sama mendakwa Presiden FIFA, Gianni Infantino berpotensi dilantik sebagai pesuruhjaya syarikat berkenaan selepas menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 2031, dengan pendapatan tahunan yang dianggarkan melebihi AS$50 juta (RM204 juta).
Menurut laporan itu, institusi kewangan gergasi Amerika Syarikat, JPMorgan sedang mengendalikan proses berkenaan, manakala pentadbiran Presiden AS, Donald Trump turut dimaklumkan mengenai cadangan tersebut.
Perkembangan itu menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak dalam industri bola sepak yang menyifatkan langkah tersebut sebagai titik perubahan paling kontroversi dalam sejarah moden sukan berkenaan.
Seorang sumber yang dipetik The Times menyifatkan cadangan itu sebagai ‘bom nuklear’ kepada bola sepak dunia, manakala pihak lain menganggapnya jauh lebih berbahaya berbanding projek Liga Super Eropah yang pernah mencetuskan bantahan besar-besaran pada 2021.
Menurut laporan Sky, ahli-ahli UEFA dijangka mengadakan mesyuarat khas minggu ini bagi membincangkan pelbagai pilihan termasuk kemungkinan memboikot kejohanan anjuran FIFA sebagai tanda bantahan terhadap rancangan tersebut.
Jika langkah itu diteruskan, ia berpotensi menyaksikan beberapa kuasa besar bola sepak dunia seperti Sepanyol, England dan Perancis tidak menyertai kejohanan Piala Dunia pada masa akan datang.
Difahamkan, Persatuan Bolasepak England (FA) tidak dimaklumkan lebih awal mengenai cadangan berkenaan sebelum ia didedahkan kepada umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan FIFA dalam membuat keputusan besar yang memberi kesan kepada seluruh ekosistem bola sepak.
UEFA yang selama ini sering bertelagah dengan FIFA dalam beberapa isu utama tampil mengeluarkan kenyataan tegas dengan menyifatkan cadangan tersebut sebagai sesuatu yang melangkaui batas pentadbiran bola sepak.
“Ini melangkaui batas yang tidak sepatutnya dilalui oleh badan pentadbir bola sepak.
“UEFA memandang perkara ini dengan amat serius. Begitu juga setiap persatuan bola sepak kebangsaan.
“Begitu juga semua pihak berkepentingan termasuk liga, kelab, pemain, penyokong, kerajaan dan semua yang mengambil berat mengenai masa depan permainan ini.
“Jiwa dan pentadbiran bola sepak bukan aset untuk diperdagangkan, terutama tanpa ketelusan mengenai siapa yang mendapat keuntungan kewangan. Tiada seorang pun daripada kita pemilik bola sepak. Ia bukan milik FIFA untuk dijual,” menurut kenyataan badan itu.
Ancaman boikot tersebut boleh memberi kesan seawal tahun depan apabila Brazil dijadual menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita, sebelum isu yang lebih besar membabitkan kejohanan Piala Dunia lelaki muncul pada masa depan.
UEFA sememangnya mempunyai sejarah berdepan FIFA dalam isu-isu besar bola sepak global.
Lima tahun lalu, Presidennya, Aleksander Ceferin pernah memberi amaran bahawa negara-negara Eropah tidak akan menyertai Piala Dunia jika kejohanan itu diadakan setiap dua tahun berbanding format tradisional empat tahun sekali.– AGENSI










