Taikun Korea Selatan diarah bayar pampasan cerai RM2.6 bilion

Taikun Korea Selatan diarah bayar pampasan cerai RM2.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah Korea Selatan mengarahkan taikun pengeluar cip kecerdasan buatan (AI), Chey Tae-won, membayar pampasan perceraian sebanyak AS$644 juta (RM2.6 bilion) kepada bekas isterinya, selepas jumlah itu dikurangkan berikutan rayuan.

Chey, 65, ialah Pengerusi Kumpulan SK yang memiliki SK hynix, antara pengeluar cip memori terbesar dunia dan tonggak utama ekonomi berasaskan teknologi Korea Selatan.

Pada 2024, Mahkamah Tinggi Seoul mengarahkan beliau membayar 1.38 trilion won (RM3.8 bilion) kepada bekas isterinya, Roh Soh-yeong, anak perempuan bekas Presiden Korea Selatan.

Jumlah itu, yang melebihi AS$1 bilion mengikut kadar pertukaran ketika keputusan dibuat, menyebabkan media tempatan menggelarnya sebagai ‘perceraian abad ini’.

Chey kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung, yang mengarahkan Mahkamah Tinggi menyemak semula keputusan 2024, sekali gus mengurangkan jumlah pampasan kepada 944 bilion won (RM2.6 bilion).

Bagaimanapun, penyelesaian itu masih belum muktamad kerana kedua-dua pihak masih boleh merujuk semula kes berkenaan kepada Mahkamah Agung.

Kes berprofil tinggi itu tertumpu kepada pertikaian mengenai takrifan dan penilaian aset bersama pasangan berkenaan, termasuk pegangan saham Chey yang bernilai tinggi dalam Kumpulan SK.

Mahkamah Tinggi Seoul pada Jumaat memutuskan Soh-yeong berhak menerima pampasan tunai bersamaan satu pertiga daripada aset perkahwinan pasangan itu.

Mahkamah berkata pegangan saham Tae-won meningkat dengan ketara sepanjang tempoh perkahwinan hasil daripada aktiviti pengurusannya.

Pada masa sama, Soh-yeong disifatkan turut menyumbang kepada peningkatan nilai aset itu menerusi peranannya mengurus rumah tangga, membesarkan anak-anak serta melaksanakan pelbagai aktiviti awam berkaitan Kumpulan SK.

Tae-won dan Soh-yeong berkahwin pada 1988, namun dipercayai tinggal berasingan selama lebih 15 tahun. Pada 2015, Tae-won mengaku mempunyai seorang anak hasil hubungan dengan wanita lain.

Dengan SK hynix membekalkan cip memori penting kepada syarikat pengkomputeran AI, Nvidia, nilai pegangan saham Tae-won kini dianggarkan sekitar AS$5.5 bilion (RM22.5 bilion), berdasarkan pemfailan kawal selia dan data awam.

Soh-yeong, 65, mempunyai tiga orang anak bersama Tae-won dan kini membina kerjaya dalam bidang seni serta budaya dengan mengendalikan sebuah muzium seni digital.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN