IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2026 Peringkat Negeri yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Istiadat bermula dengan perarakan masuk panji dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pasukan pancaragam tersebut dipimpin oleh Leftenan Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dengan kekuatan 35 anggota.
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 103 pegawai lain-lain pangkat Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen.
Kawalan kehormatan itu diketuai Mejar Mohd. Izuan Mohamed dibantu Kapten Muhammad Lutfil Hadi Osman manakala pegawai pembawa panji ialah Leftenan Aizi Putra.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Pegawai Staf Agama Markas 2 Briged, Mejar Hashim Abdul Rahman diikuti deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawan’ yang dideklamasikan oleh Leftenan Hadzeri Julai dari Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat upacara.
Perbarisan Hari Pahlawan melibatkan 280 pegawai dan anggota serta pesara pasukan keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sempena tanggal tamatnya Darurat di Tanah Melayu iaitu pada 31 Julai 1960. –UTUSAN










