INGLEWOOD: Belgium bakal berdepan ujian getir dalam usaha memburu slot separuh akhir Piala Dunia 2026 kerana perlu menyekat kemaraan juara Eropah, Sepanyol dalam aksi suku akhir di Stadium Los Angeles, esok.
Tugas berat menanti skuad The Red Devils apabila mereka wajib mencari formula luar biasa bagi merobohkan benteng pertahanan ‘kebal’ Sepanyol yang masih belum dibolosi sepanjang kejohanan berlangsung di Amerika Syarikat (AS).
Skuad kendalian Luis de la Fuente itu baru sahaja melakar sejarah dunia pada Isnin lalu selepas menundukkan Portugal 1-0, sekali gus muncul pasukan pertama merekodkan enam perlawanan berturut-turut tanpa bolos di pentas Piala Dunia.
Walaupun tidak mempamerkan corak serangan rakus seperti Perancis, Sepanyol dilihat lebih selesa dengan taktikal penguasaan bola yang berhati-hati, gaya permainan yang pernah membawa mereka menjulang trofi keramat di Afrika Selatan pada 2010.
Tumpuan peminat bola sepak dunia pastinya terarah kepada permata muda, Lamine Yamal yang dianggap sebagai senjata paling berbisa Sepanyol di atas kertas.
Meskipun bintang remaja itu tiba ke bumi Amerika dalam fasa pemulihan kecederaan dan hanya meledak satu gol dalam lima perlawanan, kehadirannya tetap menghantui pasukan lawan.
Kekurangan gol daripada Yamal bagaimanapun berjaya ditampung oleh ketajaman Mikel Oyarzabal yang sudah meledak empat gol, termasuk dua jaringan ketika membenam cabaran Austria 3-0 dalam pusingan 32 terakhir.
Pemain tengah prolifik Barcelona, Dani Olmo menyifatkan Yamal sebagai pemain yang semakin matang dan memberi impak besar kepada dinamika pasukan.
“Dia memberi sumbangan besar menerusi gelecekan dan kehadirannya di padang. Apabila dia memegang bola, dua atau tiga pemain lawan akan mengepungnya dan situasi itu membuka ruang buat rakan lain.
“Lamine sering menjaringkan gol dan melakukan bantuan gol tetapi jika dia tidak melakukannya sekalipun, dia tetap membantu pasukan dengan kerja kerasnya,” kata Olmo.
Hakikat yang perlu ditelan oleh Belgium ialah Sepanyol tidak memerlukan jumlah jaringan yang besar untuk menang, memandangkan kubu mereka terlalu sukar digugat apabila hanya melepaskan enam percubaan tepat dalam lima perlawanan setakat ini.
“Kami adalah pasukan yang menyerang dan bertahan secara kolektif. Jurulatih sentiasa menekankan bahawa pemain penyerang adalah orang pertama yang perlu bertahan.
“Barisan pertahanan kami sangat luar biasa dan ini adalah pencapaian bersejarah. Kami gembira untuk (penjaga gol) Unai Simon. Jika kami mampu mengekalkan rekod tanpa bolos, kemenangan pasti dalam genggaman,” tegas Olmo. – AFP










