Senat AS tolak usul undur tentera dari konflik Iran

Senat AS tolak usul undur tentera dari konflik Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) semalam menolak Resolusi Kuasa Perang yang menggesa Presiden Donald Trump menarik balik tentera AS daripada konflik dengan Iran, beberapa jam selepas Dewan Perwakilan meluluskan usul sama buat kali kedua sejak pertempuran tercetus pada Februari.

Perkembangan itu mencerminkan peningkatan penentangan Kongres terhadap perang berkenaan, namun usaha tersebut setakat ini masih gagal mengubah dasar pentadbiran Trump, walaupun konflik itu mengorbankan 18 anggota tentera AS.

Resolusi yang dikemukakan Senator Demokrat, Chris Van Hollen, ditolak dengan keputusan undian 47-49, sebahagian besarnya mengikut garis parti.

Terdahulu, Dewan Perwakilan meluluskan resolusinya dengan keputusan 214-208, apabila empat ahli Republikan yang sebelum ini menyokong usul hampir sama pada Jun sekali lagi mengundi bersama semua ahli Demokrat yang hadir.

Empat wakil Republikan itu ialah Tom Barrett dari Michigan, Brian Fitzpatrick dari Pennsylvania, Warren Davidson dari Ohio dan Thomas Massie dari Kentucky.

Bagaimanapun, kedua-dua resolusi berkenaan tidak mempunyai kuasa mengikat mengikut undang-undang.

Pentadbiran Trump menegaskan Resolusi Kuasa Perang adalah bercanggah dengan Perlembagaan AS, manakala tiada presiden sejak undang-undang itu digubal pada 1973 pernah mengiktirafnya sebagai mengikat dari sudut perundangan. Kesahihan undang-undang itu juga belum pernah dicabar di mahkamah.

Undian itu berlangsung ketika ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sejak konflik bermula pada Februari, seramai 18 anggota tentera AS terbunuh, termasuk empat yang maut sejak 17 Julai.

Menurut Pentagon, hampir 500 anggota tentera AS cedera sepanjang konflik itu, dengan kira-kira 100 daripadanya direkodkan dalam tempoh dua minggu lalu.

Iran turut melancarkan serangan ke atas beberapa pangkalan tentera AS di rantau itu, manakala tentera AS terus melaksanakan serangan udara sebagai tindak balas.

Pada Khamis, kumpulan Houthi yang disokong Teheran di Yemen mendakwa menyerang dua kapal tangki minyak dan mengancam untuk menghalang penghantaran minyak Arab Saudi melalui Laut Merah, sekali gus mendorong harga minyak mentah meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa minggu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN