Romania tembak jatuh dron kedua ceroboh ruang udara

Romania tembak jatuh dron kedua ceroboh ruang udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUCHAREST: Romania menembak jatuh sebuah dron yang memasuki ruang udaranya pada Sabtu, untuk hari kedua berturut-turut, menandakan kejadian kedua seumpama itu sejak Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine, menurut pihak berkuasa negara itu.

Negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bersempadan dengan Ukraine itu sering berdepan pencerobohan dron, termasuk insiden dron terhempas di wilayahnya, sejak 2022.

Pasukan keselamatan Romania pertama kali menembak jatuh sebuah dron pada Jumaat, kira-kira 114 kilometer (70 batu) dari Bucharest.

Menteri Pertahanan Romania, Radu Miruta, berkata tentera negara itu menembak jatuh sebuah lagi dron pada Sabtu jam 8.34 pagi (5.34 pagi GMT) selepas ia “memasuki ruang udara Romania secara haram”.

Beliau berkata dron itu ditembak jatuh kira-kira 9.6 kilometer (enam batu) barat Sfantu Gheorghe di Delta Danube, berhampiran sempadan Ukraine.

“Dron itu dikesan oleh radar Kementerian Pertahanan Nasional memasuki ruang udara kami pada jam 8.22 pagi dan ditembak beberapa minit kemudian oleh jet pejuang F-16 Romania,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pencerobohan dron di Romania dikesan berpuluh-puluh kali sejak perang Ukraine bermula.

Mei lalu, sebuah dron melanggar sebuah bangunan apartmen sehingga mencederakan dua orang, sekali gus mengundang kecaman daripada NATO dan Kesatuan Eropah (EU) yang menyalahkan Russia serta memberi amaran terhadap kejadian pencerobohan berulang.

Pada 2025, Parlimen Romania meluluskan undang-undang membenarkan negara itu menembak jatuh dron yang menceroboh ruang udaranya.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menerusi platform X berkata langkah memperkukuh pertahanan dan pencegahan di sepanjang sempadan timur kekal menjadi keutamaan, sambil memuji tindakan tentera Romania.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN