Ringgit berpotensi capai RM4.00 sedolar AS pada separuh kedua - Utusan Malaysia

Ringgit berpotensi capai RM4.00 sedolar AS pada separuh kedua

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka berlegar antara RM4.00 hingga RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua 2026 berikutan pengukuhan mata wang AS yang dipacu jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed), sentimen penghindaran risiko serta pertumbuhan eksport yang dijangka lebih sederhana.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, unjuran ringgit pada paras RM3.85 hingga RM3.92 yang dibuat sebelum ini tidak lagi relevan dengan keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya, prospek ekonomi pada separuh kedua tahun ini dijangka lebih mencabar, namun kekal positif dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur berkembang sekitar 4.5 peratus.

“Ia disokong oleh perbelanjaan domestik serta permintaan berterusan terhadap eksport elektrik dan elektronik (E&E), khususnya berkaitan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).

“Bagaimanapun, momentum pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua berikutan normalisasi inventori dan permintaan global yang semakin lemah.

“Ringgit pula dijangka berlegar sekitar RM4.05 berbanding dolar AS, lebih lemah berbanding unjuran awal tahun susulan pengukuhan mata wang AS.

“Kunci untuk memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan ialah dengan terus menarik pelaburan berkualiti serta menghapuskan amalan amalan memburu keuntungan tanpa nilai tambah yang menjejaskan daya saing peniaga tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sektor E&E berkaitan AI dijangka terus menjadi pemacu utama eksport dan perdagangan negara pada separuh kedua tahun ini, disokong permintaan berterusan terhadap komponen elektronik yang digunakan dalam pembangunan infrastruktur AI.

Katanya, permintaan domestik juga dijangka kekal kukuh hasil perbelanjaan isi rumah, pelaksanaan bantuan kerajaan secara bersasar serta prestasi sektor perkhidmatan yang terus berkembang.

“Bagaimanapun, beberapa cabaran masih perlu diberi perhatian termasuk ketegangan geopolitik melibatkan AS, Israel dan Iran yang dijangka menjadi tema utama ekonomi global pada 2026, menggantikan isu perang perdagangan.

“Selain itu, permintaan global yang lemah akibat kos tenaga yang tinggi di Eropah dan United Kingdom turut dijangka memberi tekanan kepada prestasi eksport.

“Risiko tarif AS terhadap semikonduktor juga masih wujud. Walaupun tarif timbal balik sebanyak 19 peratus dilaksanakan di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART), AS telah mengumumkan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus dan sedang mempertimbangkan kenaikan kepada 15 peratus.

“Sehubungan itu, pertumbuhan eksport pada separuh kedua 2026 dijangka berkembang antara 0.8 hingga 2.0 peratus tahun ke tahun, lebih perlahan berbanding separuh pertama tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN