Projek tambah infrastruktur sedia kemasukan murid Tahun Satu usia 6 tahun siap lebih awal

Projek tambah infrastruktur sedia kemasukan murid Tahun Satu usia 6 tahun siap lebih awal

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebahagian besar projek penyediaan infrastruktur bagi menyambut kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027 disiapkan lebih awal daripada jadual.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata perkembangan itu membuktikan kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan kemudahan sekolah berada pada tahap terbaik sebelum murid memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Tahniah kerana dalam persiapan kita, khususnya persiapan infrastruktur kita menerima kehadiran anak-anak enam tahun di darjah satu tahun hadapan, projek-projek sudah pun ada yang siap ‘ahead of time’. Maknanya jauh lebih awal.

“Terima kasih kepada Ketua Setiausaha (KSU) dan pasukan yang bertungkus-lumus memastikan persiapan kita untuk menyambut anak-anak ini, khususnya infrastrukturnya, berjalan dengan sangat baik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha KPM akan turun padang ke beberapa sekolah yang projek infrastrukturnya siap lebih awal bagi meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan sebelum sesi persekolahan bermula.

Dalam pada itu, beliau berkata persiapan lain termasuk penempatan guru dibuat berdasarkan pengumuman awal berkaitan pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu.

Katanya, sambutan ibu bapa terhadap inisiatif itu juga kekal menggalakkan apabila KPM masih menerima pertanyaan dan pendaftaran bagi kemasukan murid enam tahun.

“Setakat semalam, kita masih lagi menerima pertanyaan dan pendaftaran untuk anak-anak enam tahun ini. Sepanjang tahun ini masih ada ibu bapa yang mahu terus mendaftarkan anak-anak mereka.

“Setakat ini kemasukan dan pendaftaran ini masih popular dan kita mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kerana memberikan kepercayaan kepada KPM,” katanya.

Beliau berkata, KPM yakin proses kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun akan menjadi lebih teratur pada tahun akan datang berikutan persiapan yang semakin kemas dan tersusun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN