SEREMBAN: Pas bersikap positif dalam perbincangan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan tersebut termasuk mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi
Beliau berkata, keputusan muktamad mengenainya hanya akan diberitahu ketika pengumuman calon pada Khamis ini.
Pas bagaimanapun menurutnya menerima hakikat bahawa UMNO-BN merupakan parti yang akan mendominasi serta menerajui gabungan tersebut jika kerjasama dimuktamadkan.
“Dalam bentuk kerjasama, kita terima hakikat Negeri Sembilan UMNO dominasi, dia pimpin. Penyertaan itu akan dibincang balik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan di sini, malam tadi.
Hadi menambah, Pas tidak mempunyai masalah jika jawatan Menteri Besar kelak dijawat oleh calon dari UMNO-BN.
“Matlamat utama ialah memastikan orang Islam dan Melayu yang memimpin Negeri Sembilan seperti di Johor,” katanya.
Jelasnya, ruang kerjasama kedua-dua parti memang positif malah telah dimulakan lebih awal sebelum ini.
“Pada peringkat awal dahulu kita sudah berusaha mengambil alih kerajaan melalui akuan bersumpah (SD) bersama Perikatan Nasional (PN) namun malangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menarik diri, manakala UMNO tidak menarik diri.
“Jadi, ada ruang untuk bekerjasama dan setakat ini perbincangan berjalan dengan sangat positif,” katanya lagi.
Sementara itu, mengenai penggunaan logo pada PRN nanti, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum diputuskan sama ada akan menggunakan Pas atau PN. – UTUSAN










