PARIS: Perancis merekodkan peningkatan lebih 2,000 kematian sepanjang minggu terakhir Jun susulan gelombang haba luar biasa yang memecahkan rekod di Eropah, ketika peramal cuaca memberi amaran benua itu bakal berdepan satu lagi siri cuaca panas ekstrem dalam beberapa hari akan datang.
Kementerian Kesihatan Perancis memaklumkan jumlah kematian meningkat 29 peratus pada minggu terakhir Jun berbanding minggu sebelumnya.
Menteri Kesihatan Perancis, Stéphanie Rist, berkata peningkatan itu jelas ketara dalam kalangan individu berusia 45 tahun ke atas.
24 Jun lalu, Perancis mencatatkan hari paling panas dalam sejarah negara itu berdasarkan purata suhu harian, dengan Paris hampir mencecah 41 darjah Celsius, manakala separuh daripada wilayah negara itu diletakkan di bawah amaran haba merah.
Peningkatan angka kematian itu diumumkan ketika beberapa negara di Eropah, termasuk United Kingdom (UK), bersiap sedia menghadapi satu lagi gelombang haba yang dijangka melanda mulai hujung minggu ini.
Menurut BBC Weather, kawasan tekanan tinggi yang luas kini sedang bergerak dari Kepulauan Azores ke arah Portugal dan Sepanyol, dengan suhu dijangka terus meningkat di Perancis serta selatan Britain menjelang hujung minggu ini.
Ketika Eropah bersiap sedia menghadapi cuaca panas melampau, berjuta-juta rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menyambut cuti hujung minggu sempena Hari Kemerdekaan pada 4 Julai turut berdepan gelombang haba berpanjangan dan kelembapan tinggi di beberapa kawasan tengah serta timur negara itu.
Perubahan iklim terus menjadi pemacu utama peningkatan suhu di seluruh dunia, khususnya di Eropah yang merupakan benua paling pantas mengalami pemanasan.
Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, kadar pemanasan di Eropah adalah dua kali ganda lebih pantas berbanding purata global.
Keadaan itu menyebabkan gelombang haba pada musim panas semakin kerap berlaku, selain meningkatkan tekanan terhadap bekalan air di Eropah dan memperburuk risiko kebakaran hutan.
Gelombang haba yang mencatatkan suhu tertinggi pada musim panas tahun ini juga mengorbankan ramai nyawa di beberapa negara Eropah.
Di Belgium, sebanyak 1,222 kematian direkodkan sepanjang gelombang haba itu, iaitu 39 peratus lebih tinggi daripada kebiasaan, dengan hampir separuh daripada mangsa berusia 85 tahun ke atas.
Kementerian Kesihatan Belgium menyifatkan jumlah kematian sepanjang tempoh gelombang haba itu sebagai sesuatu yang ‘belum pernah berlaku sebelum ini’.
Sementara itu, Agensi Kesihatan Awam Perancis melaporkan sebanyak 2,025 kematian direkodkan antara 22 hingga 28 Jun, meningkat hampir 30 peratus berbanding tempoh sebelumnya. Wilayah Paris sahaja mencatatkan peningkatan kematian sebanyak 62 peratus.
Kementerian Kesihatan Perancis berkata, angka itu berkemungkinan masih lebih rendah daripada jumlah sebenar, sekali gus menunjukkan kadar kematian akibat gelombang haba dijangka lebih tinggi daripada anggaran awal.










