TANJUNG MALIM: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama negara di persada dunia apabila mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan Dunia ‘Adobe Certified Professional’ (ACP) yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat semalam.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff, kejayaan Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd. Fuaad itu amat membanggakan kerana kejohanan itu melibatkan 203 peserta dari 45 negara.
“Kejohanan itu menguji kemahiran peserta dalam mereka bentuk poster kreatif menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.
“Muhammad Fawwaz menerima hadiah wang tunai AS$2,000 (kira-kira RM8,183.27) adalah pelajar program pendidikan teknologi maklumat UPSI, ” katanya di sini, hari ini.
Katanya, pencapaian pelajar itu bukan sahaja menyerlahkan keupayaan luar biasanya dalam kejohanan tersebut tetapi mengangkat nama UPSI dan negara sebagai lubuk bakat digital bertaraf dunia.
“UPSI akan terus melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa melalui latihan dan pensijilan profesional.
“Kami juga berharap lebih banyak institusi bersama-sama memperkukuh pembangunan bakat digital demi menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini,” katanya. – UTUSAN










