Pearly-Thinaah mara, selepas singkir beregu Jepun

Pearly-Thinaah mara, selepas singkir beregu Jepun

Pearly Tan-M. Thinaah yang kini menghuni ranking No. 5 dunia mengambil masa selama 32 minit untuk mengetepikan beregu ke-29 dunia itu 21-16, 21-12 di peringkat 32 terbaik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menyingkirkan beregu Jepun, Ririna Hiramoto-Kokona Ishikawa untuk menampah slot ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.

Pasangan yang kini menghuni ranking No. 5 dunia mengambil masa selama 32 minit untuk mengetepikan beregu ke-29 dunia itu 21-16, 21-12 di peringkat 32 terbaik.

Thinaah yang kali pertama berdepan Hiramoto-Ishikawa memuji persembahan dipamerkan beregu muda tersebut yang disifatkannya bermain dengan cukup baik.

“Saya rasa pasangan Jepun bermain dengan cukup baik, tetapi kami lebih fokus untuk mengekalkan strategi dan kualiti pukulan kami. Saya rasa itulah yang membantu kami dalam perlawanan hari ini,” katanya kepada wakil BWF.

Ketika diajukan soalan mengenai gelanggang pula, pemain berusia 28 tahun itu memberitahu, angin bertiup agak kuat sewaktu berada di dalam gelanggang dan situasi tersebut memang sedikit menyukarkan.

“Ya, saya rasa keadaan angin memang sesuatu yang mencabar, tetapi setiap pemain melalui perkara yang sama.

“Ia bergantung kepada bagaimana
kamu menguruskan perlawanan di gelanggang. Saya rasa itu sangat penting dalam setiap mata dan setiap perlawanan yang kami harungi,” ujarnya.

Apa yang lebih penting, kata Thinaah, mengekalkan momentum dan kalau boleh dia mahu melangkah lebih jauh.

Pearly pula ketika diminta mengulas mengenai status kecergasannya mengakui, dia masih mencari rentak terbaiknya di dalam gelanggang dan banyak yang perlu diperbaiki.

“Terima kasih kepada Thinaah kerana sentiasa ‘cover’ saya, jadi saya boleh lakukan apa sahaja yang saya mahu di gelanggang kerana saya tahu saya mempunyai pasangan di sisi saya.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini, tetapi saya masih mencari rentak dan berharap kami dapat bermain lebih baik dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain,” katanya yang mengesahkan status kecergasannya berada di sekitar 70-80 peratus selepas pulih kecederaan belakang.

Pada pusingan kedua, esok, Pearly-Thinaah dijangka bertemu sama ada beregu Jepun yang menghuni ranking No. 13 dunia, Rui Hirokami-Sayaka Hobara atau Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine.

Sementara itu, beregu campuran No. 12 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut meneruskan kemaraan selepas mengalahkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Misaki Matsumoto 21-15, 16-21, 21-19 dalam masa 49 minit.

Esok, pasangan suami isteri itu bakal mengharungi ujian lebih getir menentang wakil tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang merupakan pasangan No. 6 dunia.

Nasib berbeza dialami pemain perseorangan wanita Malaysia, Wong Ling Ching yang tunduk kepada Sim Yu Jin dari Korea Selatan 21-17, 16-21, 17-21 dalam masa 50 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN