JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menggesa agar kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah penyelesaian segera berhubung isu kekurangan petugas kesihatan yang dihadapi di seluruh Johor, ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dianggarkan seramai 2,000 penjawatan diperlukan melibatkan operasi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG).
Sehubungan itu, beliau meminta KKM menunaikan janji untuk menyediakan petugas kesihatan mencukupi bagi memastikan operasi kesihatan awam harian dapat berjalan dengan lancar dan dalam keadaan terbaik.
“Ada satu perkara yang benar-benar merisaukan saya, iaitu kekurangan petugas kesihatan di HSA. Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari.
“Justeru, saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada KKM agar isu kekurangan petugas di hospital ini diberikan keutamaan,” katanya selepas melawat hospital berkenaan, di sini.
Tambah Onn Hafiz, kekurangan petugas kesihatan di premis-premis berkenaan telah menyebabkan kakitangan sedia ada terpaksa menanggung bebanan tugas berlebihan untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan kesihatan rakyat terjaga.
“Ini menyebabkan ramai yang terpaksa ‘resign’ kerana tidak tahan dengan bebanan tugas yang mereka terpaksa lalui untuk menyelamatkan nyawa-nyawa di Johor. Jadi kepada kerajaan Persekutuan khususnya KKM, tolonglah penuhi permintaan kerajaan negeri Johor.
“Buat seluruh petugas barisan hadapan kesihatan, terima kasih tidak terhingga kerana terus bertahan demi rakyat. Walau penat, walau letih, mereka tetap memilih untuk hadir dan terus berkhidmat. Saya sedar dan insaf tugas ini sememangnya bukan mudah. Kami tidak akan berhenti memperjuangkan segala yang diperlukan agar saudara dan saudari tidak terus memikul beban ini bersendirian,” katanya.
Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Onn Hafiz turut memaklumkan pelbagai usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan di HSA demi memastikan perkhidmatan kesihatan terus berjalan dengan baik.
“Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah proses “decanting’ Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan ‘Labor & Delivery’ (L&D) bermula awal Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem elektrik dijalankan dengan selamat.
“Pada masa yang sama, projek menaik taraf bekalan utama elektrik, sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta serta beberapa penambahbaikan lain turut giat dilaksanakan demi memastikan HSA terus memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan berkualiti,” katanya.-UTUSAN










