JOHOR BAHRU: MCA mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat tindakan pihak tidak diketahui yang membuat iklan tidak berhemah berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di akhbar berbahasa Mandarin tempatan.
Bendahari MCA Johor, Datuk Ng Keng Heng berkata, perkara itu merupakan satu perbuatan yang melanggar akta pilihan raya.
“Mengikut Seksyen 11(1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mana-mana pihak yang mahu membuat iklan perlu ada pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara itu.
“Jadi saya ingin buat laporan rasmi terhadap iklan disiarkan akhbar berkenaan, semalam, dan hari ini. Iklan tidak maklumkan dicetak atau diterbitkan oleh sesiapa, jadi tidak tahu pihak mana,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Persekutuan Johor Bahru, di sini hari ini.
Tambah Keng Heng, pihaknya berharap siasatan terhadap perkara itu dapat dibuat segera bagi memastikan semua pihak mengamalkan politik demokrasi yang berhemah pada PRN Johor ke-16 ini.
Semalam, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan berkata, iklan diterbitkan akhbar berkenaan menggesa pengundi supaya tidak menyokong MCA dan sebaliknya mengundi Pakatan Harapan.
“Ia secara palsu menimbulkan gambaran seolah-olah MCA telah memeterai pakatan politik dengan parti lain. Ini adalah tuduhan palsu dan berunsur fitnah yang bertujuan untuk mengelirukan pengundi semasa tempoh berkempen,” katanya.-UTUSAN










