Majoriti mangsa kebakaran Bangkok maut akibat terhidu asap

Majoriti mangsa kebakaran Bangkok maut akibat terhidu asap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kebanyakan mangsa yang terkorban dalam kebakaran dahsyat sebuah bar di Bangkok meninggal dunia akibat terhidu asap, kata polis forensik kepada AFP selepas selesai bedah siasat ke atas kesemua 33 mangsa.

Kebakaran yang berlaku di restoran dan bar popular Rong Beer Na Lat Phrao di ibu negara Thailand pada malam Ahad itu merebak dengan pantas sehingga memusnahkan premis berkenaan.

Komander Institut Perubatan Forensik, Wiroon Supasingsiripreecha, berkata hasil bedah siasat mendapati 27 mangsa meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida dan sianida selepas terhidu asap kebakaran.

“Gas berkenaan terhasil daripada kebakaran dan apabila disedut, ia menghalang oksigen daripada sampai ke dalam darah, sekali gus menyebabkan kematian.

“Jika disedut dalam jumlah yang banyak, ia boleh menyebabkan kematian dalam tempoh empat minit,” katanya kepada AFP.

Wiroon berkata, enam lagi mangsa meninggal dunia kemudian di hospital akibat kecederaan melecur parah.

Pihak berkuasa memaklumkan, jumlah kematian setakat Jumaat kekal 33 orang, manakala 77 lagi cedera.

Pemilik bar berkenaan dimasukkan ke unit rawatan rapi sejurus selepas kebakaran berlaku, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia masih menerima rawatan di hospital.

Pegawai kanan polis, Siam Boonsom, berkata pada Khamis penyiasat menemukan bukti premis itu menggunakan bekalan elektrik voltan tinggi tanpa kelulusan, yang mungkin menjadi antara faktor tercetusnya kebakaran.

Susulan kejadian itu, polis dan pihak berkuasa pentadbiran Bangkok berkata mereka akan memeriksa 1,000 premis hiburan di seluruh ibu negara Thailand dalam tempoh sebulan.

Setakat ini, pihak berkuasa mengarahkan tiga bar ditutup sementara kerana gagal memenuhi piawaian keselamatan.

Pendekatan Thailand terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan, khususnya membabitkan bar serta kelab malam, sejak sekian lama menimbulkan kebimbangan.

Pada 2009, kebakaran melanda kelab Santika di Bangkok ketika sambutan Tahun Baharu, mengorbankan 67 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN