KUSKOP salur RM60 bilion perkasa PMKS tahun ini

KUSKOP salur RM60 bilion perkasa PMKS tahun ini

STEVEN Sim Chee Keong melawat reruai ketika hadir ke Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS di Hotel Star City, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memperkasa usahawan tanpa mengira kaum dengan menyediakan pembiayaan berjumlah RM60 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara tahun ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bertujuan memastikan usahawan tempatan bukan sahaja mampu bertahan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, malah berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, kerajaan komited membantu PMKS berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi perang perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik.

“Misi saya bukan sekadar membantu usahawan Melayu, Cina atau India, tetapi menjadikan perniagaan rakyat Malaysia lebih hebat. Jika mahu menang dalam persaingan global, kita perlu menang sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan pelbagai dana pembiayaan termasuk melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional serta Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 (Mudra) turut dipertingkat bagi membolehkan lebih ramai usahawan memperoleh akses modal.

Dalam pada itu, Steven mengumumkan had maksimum pembiayaan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (Berkat) dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM100,000.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp., Datuk Teng Chang Khim berkata, PMKS kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara dengan hampir 97 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada sektor tersebut.

Katanya, Kedah mempunyai kira-kira 49,663 PMKS atau 4.6 peratus daripada keseluruhan PMKS negara, dengan kekuatan dalam sektor agromakanan, pemprosesan makanan, teknologi pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

“Potensi ini membuka ruang kepada PMKS meningkatkan nilai tambah produk, memperkukuh daya saing serta memperluaskan pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari Januari 2021 hingga Disember 2025, SME Corp. Malaysia telah membantu 8,904 PMKS di Kedah melalui pelbagai program pembangunan perniagaan.

“Dalam tempoh itu, sebanyak RM23.1 juta disalurkan kepada PMKS di Kedah, mewakili 4.3 peratus daripada keseluruhan penyaluran program SME Corp. Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN