LONDON: Bekas bintang Liverpool dan England, Kevin Keegan meninggal dunia pada usia 75 tahun selepas bertarung dengan penyakit kanser, menurut kenyataan keluarganya, semalam.
Keegan, yang dianggap antara pemain terbaik pada zamannya, disahkan menghidap kanser tahap empat dan menjalani rawatan sejak Januari lalu.
“Dengan penuh rasa dukacita, kami mengumumkan bahawa Kevin Keegan telah meninggal dunia pada usia 75 tahun.
“Bekas pemain dan pengurus England itu bertarung dengan penyakit kanser dan dikelilingi isteri serta anak-anak perempuannya pada saat-saat akhir hayatnya,” menurut kenyataan keluarga tersebut.
Keegan, penyerang lincah yang terkenal dengan gelaran “Mighty Mouse”, memenangi kejuaraan liga utama England sebanyak empat kali bersama Liverpool sebelum menyertai kelab Jerman, Hamburg pada 1977.
Dia kemudian kembali ke England untuk beraksi bersama Southampton dan Newcastle United sebelum beralih ke bidang kejurulatihan.
Sebagai pengurus, Keegan membawa Newcastle dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 1993 dan menjadikan kelab itu antara pencabar utama liga.
Keegan kemudian mengendalikan Fulham sebelum dilantik sebagai pengurus England dari 1999 hingga 2000.
Keegan turut membimbing Manchester City selama empat tahun sebelum menamatkan kerjaya kejurulatihannya selepas kembali seketika mengendalikan Newcastle pada 2008. – AFP










