JKDM patahkan 3,609 kes cubaan seludup, seleweng duti, cukai

JKDM patahkan 3,609 kes cubaan seludup, seleweng duti, cukai

AMRAN Ahmad menunjukkan pencapaian JKDM dalam kutipan hasil dan penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 di Ibu Pejabat JKDM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,609 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak Januari hingga 30 Jun lalu melibatkan tindakan sitaan pelbagai jenis barangan dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.3 bilion.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, pencapaian itu merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.5 peratus, bersamaan RM0.23 bilion berbanding RM1.07 bilion pada 2025.

“Dari segi rampasan mengikut komoditi, dadah merekodkan sebanyak 220 kes melibatkan kuantiti keseluruhan 2,750.11 kilogram dan 3,399.10 liter dengan nilai rampasan berjumlah RM366.58 juta.

“Sementara itu, rokok mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,494 kes melibatkan 1,239.72 juta batang dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM329.27 juta. Ini diikuti oleh kenderaan yang merekodkan sebanyak 511 kes melibatkan 2,026 unit dengan jumlah nilai RM191.07 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya lagi, rampasan minuman keras pula mencatatkan 417 kes melibatkan 1.79 juta liter dengan jumlah nilai RM81.41 juta, manakala bagi komoditi sisa dan skrap sebanyak 104 kes direkodkan melibatkan kuantiti keseluruhan 3,186.72 kilogram dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM40.13 juta.

“Kategori lain-lain komoditi (mercun dan bunga api, beras, produk sejuk beku, , tekstil, tayar, alat ganti kenderaan dan mata wang) merekodkan sebanyak 863 kes dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM295.64 juta,” katanya.

Beliau berkata, statistik itu mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam membanteras aktiviti penyeludupan, melindungi hasil negara serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang ditadbir oleh jabatan.

“JKDM akan terus memberikan tumpuan kepada penguatkuasaan berorientasikan outcome dengan memberikan tumpuan kepada kes-kes berimpak tinggi bagi memaksimumkan keberkesanan setiap
tindakan yang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN