KUAL PILAH: Kesalahan yang dilakukan oleh individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum Barisan Nasional (BN) kerana parti itu mempunyai sejarah dalam melahirkan pemimpin berwibawa serta membangunkan negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pemimpin yang melakukan kesalahan, namun ia tidak bermakna keseluruhan parti perlu dipersalahkan.
Katanya, BN sentiasa mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berdepan masalah mengikut proses undang-undang dan tidak pernah melindungi mana-mana individu.
“Kalau ada isu, ada masalah, ambil tindakan. Tetapi untuk menghukum atau mengecam BN itu tidak betul kerana sejarah kita selama 60 tahun tidak boleh dipertikaikan.
“BN bukan parti yang menjaga orang atau melindungi orang. Kalau ada salah, ambil tindakan melalui proses yang ditetapkan,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi Kampung Tengah Seri Menanti di sini hari ini.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, BN telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber, berpengalaman serta melalui proses pertukaran kepimpinan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, sekiranya seseorang pemimpin tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab, mereka akan digantikan dengan pemimpin lain yang lebih baik.
“BN sentiasa melahirkan pemimpin muda yang berkaliber dan berpengalaman untuk kita angkat menjadi pemimpin. Sejak merdeka, pemimpin bertukar silih berganti.
“Kalau seseorang itu tidak kuat atau tidak boleh meneruskan tanggungjawab, orang lain akan menggantikannya. Perkara ini terus dilakukan oleh BN,” katanya.
Tambah beliau, sejarah BN turut membuktikan peranan parti itu dalam membangunkan ekonomi negara.
Beliau berkata, rakyat perlu melihat sumbangan dan rekod keseluruhan parti, bukannya hanya menilai berdasarkan kes melibatkan individu tertentu.
“Sejarah BN melahirkan pemimpin dan membangunkan negara daripada ekonomi yang orang panggil ekonomi kampung, hari ini ekonomi kita sudah mencapai RM2 trilion.
“Kita bukan hendak menjatuhkan negara, tetapi kalau ada mana-mana pemimpin yang melakukan kesilapan, tindakan perlu diambil mengikut proses.
“Tindakan undang-undang terhadap individu yang bersalah tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan jasa serta sumbangan BN kepada negara,” katanya.-UTUSAN










