WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata keputusan mengenai jumlah penempatan tentera AS di Eropah bergantung kepada tindakan sekutu dalam menangani kebimbangannya berhubung isu Greenland dan perang Iran.
Kenyataan itu dijangka mencetuskan kebimbangan dalam kalangan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengenai komitmen Washington terhadap keselamatan bersama.
“Saya belum membuat keputusan muktamad,” kata Trump kepada wartawan ketika berada di dalam pesawat Air Force One dalam perjalanan pulang ke Washington selepas menghadiri sidang kemuncak NATO di Ankara, Turkiye.
Menurut Trump, isu Greenland menjadi antara faktor utama yang akan mempengaruhi keputusan itu, sambil menyatakan beliau menjangkakan dapat mencapai ‘perjanjian yang sangat baik’ berkaitan pulau berkenaan.
“Sebahagian besarnya bergantung kepada Greenland. Banyak perkara juga bergantung kepada Iran,” katanya.
Kenyataan Trump dibuat selepas sidang kemuncak NATO, yang menyaksikan beliau mengkritik sekutu lain berhubung perbelanjaan pertahanan, keengganan mereka membantu AS dalam perang terhadap Iran, serta isu status Greenland yang merupakan wilayah di bawah Denmark, anggota NATO.
Trump sejak sekian lama menyatakan minat terhadap Greenland, dengan menyifatkan pulau itu penting dari sudut keselamatan negara AS, pendirian yang menimbulkan kemarahan sekutu.
Minat mendalam Trump terhadap pulau berkenaan memuncak pada awal 2026 ketika Forum Ekonomi Dunia di Davos, apabila sekutu Eropah bimbang beliau mungkin cuba mengambil alih Greenland secara paksa.
Trump kembali membangkitkan isu berkenaan semalam, dengan menyatakan beliau ‘sangat tidak berpuas hati’ terhadap pakatan itu berhubung perkara tersebut.
Sekutu NATO melancarkan usaha diplomatik besar-besaran di Ankara bagi meyakinkan AS mereka merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai, selain mengumumkan perjanjian pertahanan bernilai berbilion dolar.
Menjelang pertemuan itu, beberapa kerajaan asing bimbang Trump akan mengurangkan komitmen keselamatan AS terhadap pakatan berkenaan ketika sekutu berdepan pelbagai cabaran, termasuk kesan kejutan tenaga akibat perang Iran serta pencerobohan Russia ke atas Ukraine yang kini memasuki tahun kelima.
AS kini menempatkan kira-kira 80,000 anggota tentera di Eropah, kehadiran yang dipertingkatkan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022, termasuk pasukan di Jerman, Poland, Itali, Romania serta wilayah Baltik.
Sekutu Eropah pula mempercepatkan perbelanjaan pertahanan selain meningkatkan pembelian senjata dan peralatan ketenteraan.
“Pada asasnya, tidak banyak pertempuran yang perlu dilakukan, tetapi sebahagiannya bergantung kepada Iran.
“Apabila mereka mempunyai peluang dan kesempatan untuk membantu, mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Namun, kita seolah-olah melupakan perkara itu. Kini mereka mahu membantu,” kata Trump semalam.- BLOOMBERG










