TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa menyasarkan beberapa lokasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Bahrain dan Kuwait hari ini, selepas Washington melancarkan siri serangan ketenteraan ke atas negara berkenaan.
Dalam perkembangan terbaharu yang dilihat menjejaskan gencatan senjata rapuh, IRGC berkata, ia melancarkan operasi bersama menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa lokasi strategik tentera AS, termasuk Bandar Salman, Daerah Tentera Laut Kelima Bahrain dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.
IRGC turut mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik AS yang didakwa cuba mengganggu operasi berkenaan.
Siren amaran serangan udara dibunyikan di Bahrain dan Kuwait, manakala tentera Kuwait memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang memintas serangan peluru berpandu dan dron yang disifatkan sebagai ‘serangan musuh’.
Setakat ini, pihak tentera AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan yang didakwa berlaku itu.
Sebelum ini, AS melancarkan satu lagi siri serangan ketenteraan serta membatalkan lesen yang membenarkan Iran menjual minyak sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tiga kapal tangki di Selat Hormuz.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), lebih 60 bot kecil milik IRGC antara sasaran yang diserang dalam operasi itu, bertujuan mengenakan tindakan tegas terhadap Iran susulan serangan ke atas kapal dagang yang didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Dakwaan serangan tanpa provokasi oleh tentera Iran merupakan pelanggaran jelas dan berbahaya terhadap gencatan senjata serta menjejaskan kebebasan pelayaran,” menurut CENTCOM dalam satu kenyataan.
Markas Pusat Khatam al-Anbiya, iaitu markas tertinggi operasi bersama tentera Iran, mengecam serangan AS sebagai ‘tindakan pencerobohan’ serta mengancam akan bertindak balas lebih teruk. Ia turut memberi amaran Teheran tidak akan membenarkan sebarang campur tangan AS dalam pengurusan Selat Hormuz.
Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, menuduh AS melanggar perjanjian gencatan senjata.
Beliau berkata tindakan itu bukan sahaja merujuk kepada serangan ketenteraan terbaharu AS, malah termasuk sekatan baharu terhadap eksport minyak Iran, pelanggaran terhadap langkah pelarasan yang dilaksanakan Iran di Selat Hormuz serta serangan Israel ke atas Lubnan.
“Era ugutan dan pemerasan sudah berakhir. Kami tidak akan tunduk,” kata Qalibaf menerusi hantaran di platform X.
Media Iran sebelum ini melaporkan beberapa letupan berlaku di hab minyak utama negara itu di Pulau Kharg, selain di Pulau Qeshm serta bandar pelabuhan selatan Sirik dan Bandar Abbas.
Stesen televisyen Press TV melaporkan beberapa letupan kedengaran di selatan Pulau Kharg. Bagaimanapun, CENTCOM tidak menyebut mengenai Pulau Kharg dalam kenyataannya, walaupun pulau itu merupakan lokasi eksport kira-kira 90 peratus minyak mentah Iran.- AGENSI









