TANGKAK: Seorang lelaki yang tular menerusi rakaman video memaparkan dirinya berkelakuan tidak waras di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas, di sini disahkan mempunyai masalah kesihatan mental dan masih menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, individu terlibat merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30-an.
“Hasil semakan mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas, di sini. Ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak semalam bagi menafikan pelbagai andaian dan spekulasi yang tidak benar berkaitan kejadian tersebut
“Siasatan turut mendapati mangsa mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU) serta mempunyai rekod rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Roslan, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung insiden berkenaan.-UTUSAN










