KANSAS CITY: England perlu segera mencari formula dalam menyekat pergerakan penyerang sensasi Norway, Erling Haaland menjelang aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Miami, awal pagi Ahad ini.
Pemain tengah England, Morgan Rogers mengakui hampir mustahil untuk menghentikan penyerang berbisa Norway itu sepenuhnya, namun percaya cara terbaik menyekat hantaran bola kepada Haaland sebelum dia sempat mengancam pintu gol.
Haaland yang sudah meledak tujuh gol sepanjang kejohanan menjadi sandaran utama Norway dan dijangka menjadi ujian terbesar buat benteng skuad kendalian Thomas Tuchel.
“Adakah sesiapa pernah menghentikan Erling Haaland? Saya tidak pasti, tetapi kami akan cuba.
“Dia pemain yang luar biasa. Apa yang dilakukannya dan jumlah gol yang dijaringkannya membuktikan betapa hebat dirinya.
“Kami perlu memastikan bola tidak sampai kepadanya dan mengurangkan peluang yang dimilikinya kerana dia sangat berbisa di depan gol,” kata Rogers.
Penyerang berusia 25 tahun itu bukanlah asing buat pemain England selepas empat musim mencipta sensasi bersama Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, Rogers mengingatkan rakan sepasukan agar tidak hanya memberi tumpuan kepada Haaland kerana Norway turut memiliki pemain kreatif bertaraf dunia seperti Martin Odegaard yang mampu mencipta peluang pada bila-bila masa.-AGENSI










