BEIJING: Lebih 20,000 penduduk dipindahkan dan perkhidmatan kereta api digantung di selatan China susulan Taufan Noul yang dijangka membawa hujan lebat serta angin kencang, menurut media kerajaan.
Pusat Meteorologi Kebangsaan China meramalkan taufan itu akan melanda kawasan pesisir pantai dari Hong Kong hingga wilayah Guangdong antara petang Sabtu dan pagi esok.
Pihak berkuasa mengekalkan amaran taufan jingga, iaitu tahap kedua tertinggi, selepas memberi amaran beberapa kawasan di Guangdong dan wilayah berjiran, Fujian, akan mengalami angin kencang serta hujan lebat.
Penyiar negara, CCTV, melaporkan lebih 20,000 penduduk di Guangdong dipindahkan lewat semalam.
Semua bot nelayan yang beroperasi di perairan wilayah itu turut diarahkan kembali ke pelabuhan sebagai langkah berlindung daripada taufan.
CCTV turut melaporkan Guangdong menggantung sebahagian perkhidmatan kereta api pada pagi Sabtu, manakala semua perkhidmatan kereta api di wilayah itu akan dihentikan sepenuhnya pada Ahad.
Menurut laporan media tempatan, semua sekolah di bandar Chaozhou, Guangdong turut diarahkan menggantung aktiviti pembelajaran secara bersemuka.
Cuaca ekstrem melanda selatan dan tengah China pada bulan ini, dengan 39 orang maut selepas Taufan Maysak mencetuskan banjir besar di Guangxi.
Maysak turut membawa ribut petir dan angin kencang yang mengorbankan 11 nyawa serta mencederakan 331 orang di wilayah tengah Hubei.
Saintis memberi amaran kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem global akan bertambah apabila suhu bumi terus meningkat akibat pelepasan bahan api fosil.
China merupakan negara pengeluar gas rumah hijau terbesar dunia, namun pada masa sama menjadi kuasa utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui global. Negara itu menyasarkan untuk menjadikan ekonomi besar-besarannya neutral karbon menjelang 2060.- AFP










