Bukan lari dari Sikamat, mahu berbakti di Linggi - Aminuddin

Bukan lari dari Sikamat, mahu berbakti di Linggi – Aminuddin

AMINUDDIN Harun (kanan) ketika diawal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di Sikamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan keputusan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan kerana meninggalkan atau ‘lari ‘dari kubu kuatnya di Sikamat.

Sebaliknya keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri untuk terus berbakti kepada rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, Sikamat merupakan tempat bermulanya perjalanan politik beliau sejak 2008 apabila dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum mempertahankan kerusi itu selama empat penggal termasuk ketika dilantik sebagai Menteri Besar.

“Saya bukan lari dari Sikamat. Empat penggal saya di Sikamat. Dari seorang ADUN pembangkang sehingga menjadi Menteri Besar, saya tetap di Sikamat.

“Penduduk Sikamat menjadi saksi kepada perjalanan politiknya yang bermula dari sebuah pejabat kecil di atas kedai ketika berdepan kekangan peruntukan sebagai wakil rakyat pembangkang,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Aminuddin berkata, pelbagai usaha dilakukan bersama penyokong dan penduduk bagi mengumpul dana serta melaksanakan program kebajikan demi membantu masyarakat setempat.

“Susah dan lelah saya, penduduk Sikamat yang tahu. Dulu peruntukan pembangkang sangat terhad, macam-macam cara kami cari dana untuk membantu rakyat.

“Hubungan yang terjalin dengan penduduk Sikamat kini bukan sekadar antara wakil rakyat dan pengundi malah sudah dianggap seperti sebuah keluarga.

“Setiap kali pulang mengadakan program bersama rakyat Sikamat, saya rasa seperti pulang ke kampung sendiri. Isteri dan anak-anak saya juga sudah begitu mesra dengan penduduk di sana,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, beliau telah menyerahkan baton perjuangan di Sikamat kepada calon Pakatan Harapan (PH) supaya menjaga kebajikan penduduk di kawasan itu.

“Saya sudah pesan, jaga Sikamat. Saya sayang Sikamat,” katanya.

Mengulas keputusan bertanding di Linggi, beliau berkata, keputusan itu dibuat atas pilihannya sendiri kerana mahu membawa pengalaman dan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya ke Linggi atas kehendak saya. Saya ingin berbakti kepada penduduk DUN Linggi.

“Jika Allah mengizinkan kemenangan, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk penduduk di DUN Linggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di rumah keluarga Allahyarham Badaruddin yang disifatkannya antara individu terawal menerima dan menyokong beliau ketika mula bertapak di Sikamat.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya di Paroi menyindir Aminuddin ‘lari’ dari Sikamat dan berkata Barisan Nasional (BN) akan ‘melanyak’ beliau sehingga ke Linggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN