KOLKATA: Kerajaan negeri Bengal Barat di India akan mengembalikan telur dalam program makanan percuma di sekolah selepas menerima bantahan berhubung keputusan pentadbiran nasionalis Hindu yang menggantikannya dengan hidangan vegetarian, menurut pegawai.
Keputusan itu dibuat susulan kritikan daripada guru, pakar pemakanan dan ibu bapa yang berpendapat penghapusan telur daripada menu makan tengah hari di sekolah boleh menyebabkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah kehilangan sumber protein yang penting.
Isu itu tercetus bulan lalu selepas kerajaan negeri pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP), yang pertama kali membentuk kerajaan di Bengal Barat pada Mei, mengeluarkan telur daripada hidangan di beberapa sekolah kerajaan dan mengatur sebuah badan kebajikan agama Hindu menyediakan makanan vegetarian sebagai gantian.
Langkah itu menghidupkan semula perdebatan panjang mengenai isu makanan dan agama di negara paling ramai penduduk di dunia, dengan pengkritik menuduh kerajaan cuba menggalakkan amalan vegetarian dalam kalangan murid sekolah.
Pada Rabu, Ketua Menteri Bengal Barat, Suvendu Adhikari, mengumumkan telur akan disediakan semula kepada murid sekolah bermula Ogos.
Di bawah pelaksanaan baharu itu, telur akan dibekalkan secara berasingan menerusi kumpulan kebajikan wanita, manakala badan kebajikan agama Hindu berkenaan akan terus menyediakan hidangan vegetarian.
“Kerajaan negeri akan membekalkan telur rebus secara berasingan ke sekolah-sekolah terbabit dengan mendapatkan khidmat kumpulan bantuan kendiri wanita mulai 1 Ogos.
“Sebahagian ibu bapa meminta kerajaan memastikan telur terus dimasukkan dalam hidangan sekolah,” kata Adhikari kepada pemberita.
BJP sering mempromosikan amalan vegetarian sebagai sebahagian daripada agenda nasionalisnya, meskipun majoriti penganut Hindu di India mengambil daging dan ikan sebagai makanan.
Telur, yang turut dianggap sebagai makanan bukan vegetarian dalam kalangan penganut Hindu, juga dimakan secara meluas.
Guru dan pakar pemakanan sebelum ini mengkritik keputusan mengeluarkan telur daripada menu sekolah dengan menyatakan makanan itu membantu meningkatkan pemakanan serta kehadiran murid, khususnya dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.- AFP










