Bapa kerja khidmat pelanggan didakwa bunuh anak kandung 18 bulan - Utusan Malaysia

Bapa kerja khidmat pelanggan didakwa bunuh anak kandung 18 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia 18 bulan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, G. Thevendhiran, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang bekerja di Singapura didakwa telah membunuh mangsa di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas Jaya, di sini antara pukul 8.30 pagi hingga 10 pagi, pada 12 September 2023.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun beserta sebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 1 Oktober depan untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patologi dan forensik.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh didenda sebulan penjara beserta denda RM3,000 gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas dakwaan memiliki bahan lucah di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit miliknya bertempat di kawasan letak kenderaan kondominium sama pada pukul 1 petang, 18 Julai 2026.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, bapa kandung kepada bayi berusia 18 bulan itu didakwa selepas pihaknya mengklasifikasikan semula kes kematian mangsa susulan penemuan maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

Menurut beliau, laporan awal berhubung kejadian itu dibuat seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada 13 September 2023.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan cedera lebam di pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi hari sama. Pada peringkat awal, polis klasifikasi kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian mangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN