WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan sejenis pil harian yang mampu menurunkan paras kolesterol ke tahap yang jauh lebih rendah berbanding ubat statin, iaitu ubat penurun kolesterol yang digunakan secara meluas.
Ubat enlicitide, yang dipasarkan dengan jenama Lipfendra, dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal Merck.
Ujian klinikal menunjukkan enlicitide mampu menurunkan paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol ‘jahat’ kepada sekitar 50 hingga 60, malah lebih rendah.
Sebagai perbandingan, individu dewasa yang tidak mengambil ubat penurun kolesterol lazimnya mempunyai paras LDL melebihi 100. Ubat itu bertindak dengan menghalang protein yang dikenali sebagai PCSK9.
Garis panduan baharu mengenai pengurusan kolesterol yang dikeluarkan Persatuan Jantung Amerika (AHA) dan Kolej Kardiologi Amerika (ACC) mengesyorkan individu yang mempunyai risiko melebihi purata untuk mengalami serangan jantung atau strok menurunkan paras LDL kepada bawah 70.
Bagi individu yang berisiko tinggi, termasuk mereka yang pernah mengalami serangan jantung, paras LDL disarankan berada di bawah 55.
Jurucakap Merck, Julie Cunningham, berkata Lipfendra akan dijual pada harga AS$315 (RM1,289) bagi bekalan selama 30 hari dan dijangka mula dipasarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Ketika ini, terdapat ubat suntikan yang bertindak melalui mekanisme sama, namun harganya lebih mahal dengan harga senarai sekitar AS$500 hingga AS$600 sebulan atau lebih.
Syarikat insurans juga kadangkala enggan menanggung kos rawatan itu, manakala sebahagian pesakit tidak selesa menerima suntikan.
Akibatnya, hanya kira-kira satu peratus daripada enam juta pesakit yang layak menggunakan ubat suntikan berkenaan, walaupun perencat PCSK9 mampu mengurangkan risiko serangan jantung sehingga 20 peratus dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.
Pakar kardiologi yang tidak terlibat dengan Merck menyambut baik kelulusan FDA terhadap ubat itu serta harga yang ditawarkan.
Mereka berharap pil yang lebih murah berbanding ubat suntikan dan lebih mudah diambil itu akan membolehkan lebih ramai pesakit mengawal paras kolesterol mereka dengan lebih berkesan.- AGENSI










