SEGAMAT: Seramai 2,300 pelajar daripada 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) negeri ini serta Melaka berentap dalam kejohanan berasaskan kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, kejuruteraan dan inovasi, iaitu Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Selatan.
Pertandingan yang diadakan di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini selama dua hari bermula kelmarin itu dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Peserta yang layak akan bersaing bagi merebut tempat ke Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 yang dijadualkan berlangsung di MAEPS Serdang, November depan.
Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, Malaysia Techlympics merupakan platform memupuk generasi muda mendalami bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pendekatan pertandingan yang interaktif dan menyeronokkan.
Katanya, program itu turut membentuk pemikiran kritis, kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan belia tempatan.
“Matlamat utama Malaysia Techlympics adalah untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi melalui pendekatan praktikal, pembelajaran berasas pengalaman serta pertandingan terbuka kepada pelajar dan belia dari pelbagai peringkat umur, jantina dan kaum,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan, di sini.
Tambah Nagulendran, edisi kali ini memperkenalkan dua pertandingan baharu berasaskan AI iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI selari dengan perkembangan teknologi global terkini.
“Selain AI, peserta turut diuji kebolehan dalam pelbagai disiplin lain termasuk robotik, pengekodan, pengkomputeran, dron dan kejuruteraan melalui pertandingan berasaskan penyelesaian masalah sebenar.
“MOSTI komited memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dengan menyediakan lebih banyak platform yang mampu mencungkil bakat baharu dalam bidang teknologi dan inovasi,” katanya.
Pada masa sama, pihaknya berharap penyertaan memberangsangkan pada Malaysia Techlympics 2026 mampu melahirkan lebih ramai bakat muda tempatan yang sedia memacu agenda transformasi digital serta ekonomi berasaskan teknologi tinggi pada masa depan.-UTUSAN










