WHO lancar pelan RM2 bilion bendung wabak Ebola

WHO lancar pelan RM2 bilion bendung wabak Ebola

TEDROS ADHANOM GHEBREYESUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAKAR: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengumumkan pelan bersama bernilai AS$518 juta (kira-kira RM2 bilion) untuk tempoh enam bulan bagi memerangi Ebola pada Jumaat, sambil menyeru sokongan kewangan dan komitmen politik bagi menghentikan penularan wabak yang kini menjadi yang keempat terbesar dalam sejarah.

WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) berkata, strategi itu bertujuan membantu Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran, Uganda, membendung penularan wabak masing-masing.

Pada masa sama, pelan itu turut membantu negara lain membuat persediaan menghadapi kemungkinan kemunculan kes Ebola melalui pelbagai langkah, termasuk memperketatkan saringan di sempadan.

“Wabak ini merebak dengan pantas dan kita masih berusaha mengejar keadaan semasa.

“Usaha membendung Ebola memerlukan komitmen politik, pembiayaan yang berterusan serta kepercayaan dalam melibatkan komuniti setempat,” katanya.

Pada taklimat sama, CDC Afrika memaklumkan wabak itu tidak dikesan selama beberapa minggu, menyebabkan pihak berkuasa kesihatan ketinggalan dalam usaha mengawalnya dan berdepan kesukaran untuk membendung penularannya.

Setakat ini, sebanyak 381 kes Ebola disahkan di Congo dengan 62 kematian direkodkan, menurut CDC Afrika. Sementara itu, Uganda melaporkan 19 kes dan dua kematian.

Wabak berkenaan membabitkan strain Ebola Bundibugyo yang jarang berlaku, dan sehingga kini tiada rawatan atau vaksin yang diluluskan khusus untuk strain tersebut.

“Wabak ini sangat serius. Jika dibandingkan dengan wabak Bundibugyo sebelum ini, inilah wabak Bundibugyo paling serius yang pernah kita hadapi,” kata Ketua Pengarah CDC Afrika, Jean Kaseya.

Beliau berkata, penderma setakat ini telah menjanjikan pembiayaan berjumlah AS$315.8 juta bagi usaha menangani wabak itu, berkurangan daripada anggaran awal AS$498 juta (RM2 bilion) selepas beberapa pihak ‘membetulkan’ jumlah komitmen mereka, tanpa memberikan butiran lanjut.

CDC Afrika mengumumkan wabak Ebola ke-17 di Democratic Republic of the Congo pada 15 Mei lalu, manakala WHO tidak lama kemudian mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia.

Ujian pengesanan turut menjadi cabaran kerana kit ujian Ebola yang biasa digunakan pada peringkat awal gagal mengesan strain Bundibugyo, selain keputusan ujian masih mengambil masa yang lama untuk diperoleh.

“Ia mengambil masa beberapa hari hingga lebih seminggu. Itu sangat mengecewakan,” kata Franklin Graham, presiden kumpulan bantuan Kristian Samaritan’s Purse yang sedang beroperasi di wilayah Ituri, Congo.

Kurangnya kepercayaan masyarakat dan penentangan terhadap usaha kesihatan awam turut menjejaskan tindak balas terhadap wabak itu, dengan beberapa serangan dilaporkan berlaku terhadap pasukan pengebumian dan pusat rawatan.

Menekankan risiko keselamatan yang dihadapi petugas di lapangan, WHO berkata pada Jumaat bahawa ia menerima tiga kenderaan berperisai daripada misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN