JOHOR BAHRU: Seorang wanita etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan membunuh anak tirinya di sebuah rumah di Taman Perling di sini, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, tiada pengakuan direkodkan wanita berusia 23 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan kerana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan kini ditahan di Penjara Simpang Renggam sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 18 Jun ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Ab. Rahaman, mangsa iaitu seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu tirinya pada pukul 4.23 petang, 2 Jun lalu.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 3 Jun mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul pada bahagian dada, sekali gus menyebabkan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Susulan itu, polis menahan wanita berkenaan bersama dua lelaki warga asing iaitu bapa kandung mangsa berusia 22 tahun dan bapa saudara mangsa berusia 32 tahun dalam serbuan berasingan sekitar daerah ini,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek lelaki kemudian dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.-UTUSAN










