Uruguay terlepas peluang, Arab Saudi curi satu mata

Uruguay terlepas peluang, Arab Saudi curi satu mata

Penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais menumbuk keluar bola ketika diasak pemain Uruguay pada aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, awal pagi tadi, dengan aksi cemerlangnya membantu Green Falcons mengikat juara dunia dua kali itu 1-1. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Uruguay gagal memanfaatkan penguasaan permainan apabila sekadar seri 1-1 dengan Arab Saudi dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Hard Rock, awal pagi tadi.

Keputusan itu turut memastikan kumpulan berkenaan terbuka luas selepas Sepanyol dan Cape Verde terdahulu turut berkongsi mata menerusi keputusan seri tanpa jaringan.

Arab Saudi mengejutkan pasukan pilihan itu apabila pertahanan, Abdulelah Al-Amri meletakkan Green Falcons di depan pada minit ke-41 hasil percubaan jarak dekat selepas berlaku kelam-kabut di depan gawang Uruguay.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Uruguay menggandakan asakan pada babak kedua sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi Maxi Araujo pada minit ke-80 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan, Mohammed Al-Owais.

“Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini.

“Kami tidak berjaya mempamerkan versi terbaik permainan kami,” kata jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa.

Uruguay yang turun dengan reputasi juara dunia dua kali melepaskan peluang demi peluang apabila merekodkan 22 percubaan pada separuh masa kedua, namun ketumpulan penyudah dan aksi cemerlang Al-Owais menggagalkan hasrat mereka membawa pulang tiga mata.

Bielsa mengakui pasukannya hanya mula menunjukkan identiti sebenar selepas melakukan pertukaran taktikal sebaik bermulanya babak kedua.

“Kami bermain lebih baik selepas rehat dan berjaya menguasai perlawanan seperti yang dirancang.

“Namun, kami gagal menyempurnakan peluang yang dicipta dan itulah yang membezakan keputusan akhir,” katanya.

Arab Saudi yang mencipta sensasi menewaskan Argentina pada Piala Dunia 2022 sekali lagi membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas tertinggi apabila bertahan dengan cukup disiplin bagi membawa pulang satu mata berharga.

Uruguay pula perlu segera memperkemaskan jentera serangan menjelang pertemuan dengan Cape Verde selepas terlepas peluang terbaik untuk menguasai saingan Kumpulan H sejak hari pertama kejohanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN