WINSTON-SALEM, Carolina Utara: Penyerang Jerman, Deniz Undav tidak menyembunyikan rasa teruja apabila mengakui peluang untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2026 bersama skuad kebangsaan sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya empat tahun lalu, ketika masih bergelut di kancah divisyen kedua Belgium.
Kini pada usia 29 tahun, Undav bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila Jerman membuka kempen Kumpulan E menentang Curacao awal pagi Isnin ini, sebelum turut berdepan Ivory Coast dan Ecuador dalam saingan kumpulan.
“Empat tahun lalu saya langsung tidak membayangkan akan berada di sini hari ini. Semuanya berlaku begitu pantas,” katanya.
Kebangkitan Undav banyak dipacu prestasi cemerlang bersama Stuttgart dalam saingan Bundesliga musim lalu apabila meledak 19 gol, sekali gus muncul penjaring kedua terbanyak liga di belakang penyerang England, Harry Kane.
Prestasi itu menghidupkan semula karier antarabangsanya selepas sebelum ini tercicir daripada perancangan jurulatih Julian Nagelsmann pada 2025.
Malah, kedudukannya dalam skuad Jerman pernah dipersoalkan apabila komen Nagelsmann sebelum ini dilihat menutup ruang untuknya berada dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, Undav terus membuktikan kemampuan apabila menjaringkan dua gol ketika Jerman membelasah Finland 4-0 pada aksi pemanas badan Mei lalu.
“Menjaringkan gol adalah tugas saya. Sama ada bermula dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian, saya perlu beri 100 peratus. Selebihnya bukan dalam kawalan saya,” katanya.
Dengan prestasi semasa yang meyakinkan, Undav kini muncul antara pilihan utama jentera serangan Jerman untuk misi membuka kempen Piala Dunia dengan langkah kanan.-AGENSI










