STPM: Johor catat PNGK 2.94, terima dua pengiktirafan kebangsaan - Utusan Malaysia

STPM: Johor catat PNGK 2.94, terima dua pengiktirafan kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini merekodkan dua pengiktirafan utama di peringkat kebangsaan iaitu Pelajar Terbaik STPM 2025 Aliran Sains dan Anugerah Kolej Tingkatan 6 Terbaik Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri sebanyak 2.94 dengan 96.63 peratus calon layak menerima sijil membuktikan kesungguhan anak-anak Johor dalam mengejar kecemerlangan pendidikan.

“Lebih membanggakan, seramai 136 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00; selain 413 calon mencatat PNGK 3.75 ke atas dan 1,285 calon mencapai PNGK 3.00 ke atas.

“Peningkatan calon lulus penuh empat mata pelajaran kepada 80.73 peratus berbanding 77.91 peratus pada tahun lalu turut mencerminkan usaha berterusan semua pihak dalam meningkatkan kualiti pendidikan negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Aznan, kerajaan negeri akan terus bersama-sama memperkukuh pendidikan demi memastikan setiap golongan muda di negeri ini diberi ruang dan peluang untuk mencapai impian masing-masing.

“Kepada anak-anak STPM 2025 yang mungkin belum mencapai keputusan diharapkan, jangan berputus asa. Perjalanan masih panjang dan kejayaan hadir dalam pelbagai bentuk.

“Terus percaya kepada kemampuan diri kerana setiap usaha yang dilakukan hari ini adalah langkah menuju masa depan yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN