Sime Darby Property lancar dana RM1.25b bagi pembangunan pusat data - Utusan Malaysia

Sime Darby Property lancar dana RM1.25b bagi pembangunan pusat data

AZMIR MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) melancarkan dana pembangunan hartanah keduanya, New Economy Venture (NEV), iaitu platform pelaburan patuh syariah bernilai sehingga RM1.25 bilion dengan tempoh hayat selama lima tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pelancaran NEV merupakan pencapaian penting dalam perjalanan transformasi kumpulan menerusi strategi SHIFT32.

“Sebagai rakan kongsi am dan pengurus dana, Sime Darby Property berupaya mempelbagaikan sumber pendapatan berulang melalui pulangan pelaburan serta pendapatan berasaskan yuran daripada pembangunan aset ekonomi baharu.

“Antara aset yang menjadi tumpuan adalah pusat data dan gudang logistik yang ketika ini mencatat permintaan tinggi dalam pasaran hartanah Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejayaan dana itu mencapai komitmen modal 100 peratus pada penutupan pertama turut menandakan pencapaian penting bagi segmen Pelaburan dan Pengurusan Aset Kumpulan.

“Pencapaian tersebut meneruskan rekod prestasi yang dibina menerusi dana sulung, Industrial Development Fund (IDF), yang dilancarkan pada 2022.

“NEV ditubuhkan bagi melabur dalam pembangunan pusat data berkonsepkan build-to-suit-to-lease serta projek pembangunan perindustrian dan logistik di kawasan perbandaran utama Sime Darby Property di Malaysia.

“Dana itu memanfaatkan bank tanah strategik kumpulan, keupayaannya sebagai pemaju induk dan penyedia penyewaan, selain ekosistem perindustrian yang berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap aset ekonomi baharu,” katanya.

NEV turut disokong oleh pelabur institusi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (GELM).

Sime Darby Property bertindak sebagai rakan kongsi am dan penaja dana, selain membuat komitmen pelaburan bersama berjumlah RM500.1 juta pada penutupan pertama.

Sehingga kini, dana tersebut telah memperoleh dua aset permulaan bernilai tinggi yang terletak secara strategik di Elmina Business Park dan City of Elmina.

Kedua-dua aset itu mewakili kira-kira 85 peratus daripada saiz sasaran dana serta disokong oleh perjanjian pajakan jangka panjang yang menyediakan keterlihatan pendapatan dan kestabilan aliran tunai kepada dana.

Pembinaan kedua-dua aset berkenaan telah dimulakan dan dijangka siap pada separuh kedua 2027, sekali gus mencerminkan pelan penggunaan modal yang jelas serta pelaksanaan projek yang segera. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN