YAN: Seorang lelaki yang bertugas sebagai siak di Masjid Nurul Iman, Kampung Titi Teras, di sini meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan, malam tadi.
Allahyarham Md. Zahir Hamid, 53, dilaporkan rebah pada rakaat ketiga sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah mengesahkan kejadian setelah laporan kematian dibuat salah seorang anak si mati.
“Polis menerima laporan pada pukul 9.15 malam berkaitan kejadian itu. Hasil temubual dengan anaknya, si mati mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti penyakit lelah, diabetes dan rekod rawatan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Mohamad Hamizi, kes diklasifikasikan di bawah kematian mengejut (SDR).
Sementara itu, ujar seorang jemaah yang enggan dikenali, menjadi rutin harian arwab sebagai siak untuk hadir ke masjid berkenaan bagi menunaikan solat fardu berjemaaah.
“Mangsa yang berasal dari kampung ini memang mempunyai sifat terpuji dan disenangi jemaah. Mudah-mudahan pemergiannya pada malam Jumaat juga merupakan satu petanda baik terhadap pengakhiran hidupnya,” katanya. – UTUSAN










