Sepanyol tutup mulut pengkritik

Sepanyol tutup mulut pengkritik

Mikel Oyarzabal meledak dua gol ketika Sepanyol menumpaskan Arab Saudi 4-0, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente menyelar pihak yang meragui kemampuan pasukannya selepas juara Eropah itu bangkit membelasah Arab Saudi 4-0 pada aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026, semalam.

Menurutnya, kritikan yang diterima selepas keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde sebelum ini dianggap keterlaluan memandangkan skuad muda Sepanyol sedang menikmati tempoh konsisten yang luar biasa.

De la Fuente berkata, rekod 33 perlawanan tanpa kalah sepatutnya menjadi bukti La Roja masih berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan dunia.

“Saya fikir adalah sesuatu yang gila untuk mempersoalkan pasukan ini.

“Kami tidak tewas dalam 33 perlawanan berturut-turut dan adalah tidak adil untuk meragui generasi pemain muda yang mempunyai masa depan cukup cerah,” katanya.

Kebangkitan Sepanyol dipacu kepulangan sensasi muda, Lamine Yamal dalam kesebelasan utama, manakala Mikel Oyarzabal mencuri tumpuan apabila meledak dua gol serta mencipta satu bantuan jaringan dalam kemenangan besar itu.

De la Fuente mengakui para pemainnya menggunakan kritikan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka di atas padang.

“Tiada siapa suka menerima kritikan dan sudah tentu maruah mereka sedikit tercalar kerana gambaran yang diberikan tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Kami sebenarnya mampu bermain lebih baik daripada ini dan reaksi yang ditunjukkan pemain membuktikan mereka sebuah pasukan yang komited serta memiliki kualiti luar biasa,” katanya.

Jurulatih berusia 65 tahun itu turut mempertahankan Oyarzabal yang sebelum ini menjadi sasaran kritikan selepas gagal memberi impak ketika menentang Cape Verde, namun muncul watak penting dalam kemenangan ke atas Arab Saudi.

Kemenangan tersebut meletakkan Sepanyol mengumpul empat mata daripada dua perlawanan sekali gus kembali menghidupkan status mereka sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN