COLLEGE STATION: Bintang Argentina, Lionel Messi dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan kecederaan hamstring kiri dan berkemungkinan diturunkan beberapa minit dalam aksi persahabatan menjelang Piala Dunia, kata ketua jurulatih Lionel Scaloni.
Scaloni berkata, Messi kini sudah mula menyertai sebahagian sesi latihan bersama pasukan selepas sebelum ini menjalani latihan secara berasingan.
“Leo berada dalam keadaan baik, dia sudah mula berlatih bersama kumpulan. Dia tidak lagi terasing sepenuhnya.
“Ada kemungkinan dia akan bermain beberapa minit dalam perlawanan persahabatan, sama ada esok atau perlawanan seterusnya,” katanya.
Juara dunia itu dijadualkan menentang Honduras di Texas hari ini sebelum berdepan Iceland di Alabama pada Selasa.
Menurut Scaloni, keadaan Messi semakin baik dan memberi kelegaan kepada kem Argentina menjelang kejohanan utama.
Sementara itu, penjaga gol utama Emiliano Martinez terpaksa diketepikan daripada kedua-dua aksi persahabatan selepas mengalami patah jari ketika sesi pemanasan menjelang aksi akhir Liga Europa.
Sebagai langkah berjaga-jaga, penjaga gol Atletico Madrid, Juan Musso akan diberi tanggungjawab mengawal gawang menentang Honduras, manakala pemain muda Santiago Beltran turut dijangka diberikan peluang beraksi.
Argentina turut berdepan beberapa isu kecederaan lain membabitkan pemain pertahanan kanan Nahuel Molina dan Gonzalo Montiel yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan otot, sekali gus membuka ruang kepada Agustin Giay dan Nicolas Capaldo untuk dipanggil menggantikan mereka.
Pertahanan tengah Cristian Romero pula sudah kembali menjalani latihan bersama skuad selepas pulih daripada kecederaan lutut, namun masih belum mencapai tahap kecergasan perlawanan sepenuhnya.
Selain itu, Nicolas Paz masih menjalani latihan secara berasingan selepas mengalami hentakan pada lutut, manakala Leandro Paredes dan Julian Alvarez juga masih dalam pemantauan pasukan perubatan akibat masalah kecergasan.
Scaloni menegaskan pihaknya tidak mahu mengambil risiko terhadap pemain yang belum cergas sepenuhnya dalam aksi persahabatan ini.
“Kami tidak mahu mengambil risiko. Mungkin ada pemain yang tidak akan diturunkan dalam perlawanan ini,” katanya.
Argentina dijangka memulakan kempen Piala Dunia pada 16 Jun ini menentang Algeria di Kansas City. – AFP










