SEATTLE: Mohamed Salah gagal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 dengan kemenangan apabila Mesir sekadar seri 1-1 menentang Belgium dalam aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan The Pharaohs masih menunggu kemenangan pertama mereka dalam sejarah penampilan di pentas Piala Dunia selepas empat penyertaan.
Mesir terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan menarik Emam Ashour pada babak pertama sebelum Belgium bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri Mohamed Hany pada minit ke-65.
Ashour yang mencuri tumpuan daripada Salah dan Kevin De Bruyne hampir muncul wira pasukan selepas meledak gol yang meletakkan Mesir di landasan terbaik untuk mencipta sejarah.
“Kami tahu Belgium adalah pasukan yang bagus dan mempunyai pemain berkualiti.
“Namun bagi kami, tiada perlawanan yang paling sukar atau paling mudah kerana setiap perlawanan perlu memberikan tiga mata,” kata penyerang muda Mesir, Hamza Abdelkarim.
Belgium yang masih dibarisi tonggak generasi emas seperti De Bruyne, Thibaut Courtois dan Romelu Lukaku pula sekali lagi gagal meraih kemenangan selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2022.
Lukaku yang dimasukkan pada babak kedua memberi impak segera apabila kehadirannya memaksa Hany melakukan kesilapan yang menghadiahkan gol penyamaan buat Belgium.
“Perlawanan pertama dalam kejohanan seperti Piala Dunia sentiasa sukar, lebih-lebih lagi menentang salah satu pasukan terbaik Afrika.
“Kami berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain yang masuk dari bangku simpanan dan itu menunjukkan betapa pentingnya keseluruhan skuad,” kata jurulatih Belgium, Rudi Garcia.
Mesir kini akan menumpukan perhatian kepada aksi menentang Iran dan New Zealand dengan harapan dapat menamatkan penantian panjang untuk meraih kemenangan sulung di pentas Piala Dunia. – AGENSI










