MIAMI: Marcus Rashford dan Andre Onana dijangka kembali menyertai Manchester United selepas urusan jual beli kedua-dua pemain terbabit masih belum dimuktamadkan.
Rashford melaporkan diri ke kem latihan England menjelang Piala Dunia 2026 ketika masa semakin suntuk untuk merealisasikan perpindahan tetap ke Barcelona.
Rashford kini menyertai skuad kendalian Thomas Tuchel di Palm Beach bagi menghadapi aksi pemanas badan England menentang New Zealand dan Costa Rica.
Barcelona mempunyai masa sehingga 15 Jun ini untuk mengaktifkan pilihan pembelian dalam perjanjian pinjaman Rashford di Nou Camp, namun United kekal bertegas dengan nilai perpindahan 26 juta pound (RM138.7 juta).
Juara La Liga itu dilaporkan hanya bersedia membayar separuh daripada jumlah berkenaan, sekali gus menjadikan masa depan pemain berusia 28 tahun itu terus tidak menentu.
Peluang Rashford menyertai Barcelona secara tetap turut dilihat semakin sukar selepas kelab Sepanyol itu mendapatkan Anthony Gordon dari Newcastle United dengan nilai 69.3 juta pound (RM369.6 juta).
Barcelona juga dilaporkan sedang berusaha mendapatkan Bernardo Silva secara percuma serta sanggup menawarkan lebih 100 juta pound (RM533.4 juta) kepada Atletico Madrid untuk mendapatkan Julian Alvarez sebagai pengganti Robert Lewandowski.
Sementara itu, Onana turut berdepan situasi tidak menentu selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama Trabzonspor dengan membantu pasukan itu menjuarai Piala Turki.

Onana tidak berada dalam perancangan United selepas ketibaan Senne Lammens, namun bersedia kembali ke Carrington sekiranya masa depannya gagal diselesaikan sebelum pra-musim bermula.
United dilaporkan lebih cenderung menjual Onana, tetapi dijangka sukar memperoleh lebih separuh daripada nilai 47.2 juta pound (RM251.8 juta) yang dibayar kepada Inter Milan ketika mendapatkan khidmatnya. – AGENSI










