Rashford perlu lebih tajam depan gawang

Rashford perlu lebih tajam depan gawang

MARCUS RASHFORD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANYOL: Pengendali Barcelona, Hansi Flick mahu Marcus Rashford tampil lebih klinikal di depan pintu gol apabila berdepan Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara, esok.

Pengendali Jerman itu mengakui penyerang England itu masih boleh memanfaatkan peluang dengan lebih baik biarpun jaringan Rashford membantu Barca menumpaskan Elche 3-1 dalam aksi La Liga, Ahad lalu.

Flick berkata, penyerang pinjaman dari Manchester United itu sudah menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan, namun percaya angka itu boleh jauh lebih tinggi.

“Apabila melihat peluang yang dia ada, satu atau dua gol lagi pasti baik untuknya. Saya tahu dia mampu beraksi di tahap tertinggi dan dia sudah menunjukkannya. Dia penting untuk kelab, peminat dan rakan sepasukan,” katanya.

Rashford pula mengakui aspek membuat keputusan dalam kotak penalti masih perlu diperbaiki, namun menegaskan keutamaannya tetap membantu pasukan meraih kemenangan.

“Saya hanya cuba lakukan perkara betul di atas padang. Hari ini mungkin saya boleh mencipta lebih banyak gol atau bantuan jaringan, kadang kala keputusan yang saya buat salah.

“Tapi ada hari seperti itu. Yang penting pasukan dan hari ini kami menang. Jika saya terus buat keputusan tepat, saya tahu saya boleh menjaringkan gol dan membantu pasukan,” jelasnya.

Selepas fokus di pentas Eropah, Barcelona akan kembali beraksi dalam saingan La Liga menentang Celta Vigo pada Ahad ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN