PETALING JAYA: Harimau Malaya menerima sedikit suntikan positif apabila melonjak dua anak tangga ke kedudukan 136 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun hakikatnya skuad kebangsaan masih bergelut untuk keluar daripada kesan kemelut yang menjejaskan reputasi bola sepak negara sejak beberapa bulan lalu.
Peningkatan ranking itu hadir tanpa Malaysia turun beraksi dalam sebarang perlawanan antarabangsa sepanjang bulan lalu namun ia banyak dibantu oleh kemerosotan prestasi pasukan lain terutama India yang gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam aksi persahabatan antarabangsa mereka, sekali gus membuka ruang buat Malaysia memperbaiki kedudukan.
Berdasarkan kemas kini rasmi FIFA, Malaysia kini mengumpul 1,086.22 mata berbanding kedudukan ke-138 dunia yang dicatatkan pada kemas kini terdahulu pada 1 April lalu.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataannya memaklumkan skuad kebangsaan berjaya naik dua anak tangga dan kemas kini ranking seterusnya dijadualkan pada 20 Julai depan.
“Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia di tangga 136 dunia, naik dua anak tangga berbanding 138 pada kemas kini terdahulu, 1 April 2026.
“Kemas kini seterusnya 20 Julai 2026,” kata FAM dalam media sosial.
Peningkatan itu bagaimanapun belum cukup untuk mengubah hakikat bahawa Harimau Malaya masih berada jauh daripada kedudukan terbaik yang pernah dicapai sebelum ini.
Untuk rekod, Malaysia pernah melonjak sehingga tangga ke-116 dunia, pencapaian yang dianggap antara terbaik dalam era moden bola sepak negara hasil beberapa keputusan positif dalam aksi persahabatan dan kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Namun, segalanya musnah apabila skuad kebangsaan dihimpit kontroversi pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain yang kemudiannya disahkan tidak layak mewakili negara.
Susulan pelanggaran peraturan tersebut, FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan antarabangsa melibatkan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Hukuman itu menyaksikan semua kemenangan dan keputusan yang diperoleh sebelum ini dibatalkan, manakala lawan diberikan kemenangan percuma 3-0, sekali gus memberi impak besar terhadap kutipan mata ranking FIFA negara.
Kemelut tersebut turut berlarutan ke peringkat Asia apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil tindakan terhadap dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam.
Pemotongan mata serta kehilangan keputusan terdahulu menyebabkan ranking Malaysia menjunam secara berperingkat daripada kelompok 120 terbaik dunia sehingga terjatuh ke tangga ke-138 sebelum kembali naik sedikit dalam kemas kini kali ini.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia masih ketinggalan di belakang beberapa pencabar utama serantau.
Thailand kekal pasukan ASEAN terbaik di kedudukan ke-92 dunia, diikuti Vietnam (99), Indonesia (118), Filipina (135) dan Malaysia di tangga ke-136.
Situasi itu meletakkan skuad kebangsaan dalam kedudukan yang cukup mencabar menjelang saingan Piala AFF bulan depan, kejohanan yang boleh menjadi pentas penting untuk mengembalikan semula keyakinan penyokong.
Sementara itu, Argentina terus menguasai ranking dunia di kedudukan pertama, diikuti Sepanyol dan Perancis yang melengkapkan kelompok tiga terbaik dunia.
Dengan Piala Dunia 2026 sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, kedudukan tersebut dijangka mengalami perubahan ketara berdasarkan pencapaian pasukan-pasukan yang masih bersaing dalam kejohanan berprestij itu.-UTUSAN










