TORONTO: Pengendali Ghana, Carlos Queiroz percaya pasukannya mampu mencipta kejutan pada Piala Dunia 2026 selepas meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Panama menerusi jaringan pada masa kecederaan.
Gol lewat Caleb Yirenkyi memastikan Ghana memulakan kempen Kumpulan L dengan langkah kanan apabila membawa pulang tiga mata berharga.
Queiroz berkata, kemenangan itu membuktikan pemainnya memiliki mentaliti dan semangat juang tinggi untuk bersaing di pentas tertinggi dunia.
“Dengan corak permainan yang kami tunjukkan hari ini, Ghana mampu melakukan sesuatu dalam kejohanan ini.
“Setiap kemenangan di Piala Dunia memerlukan pengorbanan besar dan pemain sudah menunjukkan mereka sanggup membayarnya,” katanya.
Pengendali berusia 73 tahun itu hanya dilantik membimbing Ghana pada April lalu bagi menggantikan Otto Addo yang dipecat susulan beberapa keputusan mengecewakan.
Bagaimanapun, Queiroz enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan tonggak tengah, Thomas Partey yang tidak dapat beraksi susulan isu visa dan larangan perjalanan ke Kanada.
Sebaliknya, beliau mengakui Ghana masih mempunyai ruang untuk diperbaiki selepas menyifatkan pasukannya terlalu naif dan kurang agresif pada separuh masa pertama.
“Kami agak naif dan tidak cukup agresif pada separuh masa pertama,” katanya.
Pada masa sama, Queiroz turut melahirkan rasa kurang senang dengan corak permainan fizikal Panama yang menurutnya banyak memberi tekanan kepada pemain Ghana.
Sementara itu, penjaga gol utama Ghana, Ati Zigi terpaksa dikeluarkan pada waktu rehat selepas mengalami pelanggaran dalam perlawanan berkenaan.
Mengulas keadaan Zigi menjelang aksi menentang England, Queiroz berkata, masih terlalu awal untuk menentukan tahap kecederaan pemain itu.
“Saya tidak pasti. Untuk kecederaan seperti ini, kami hanya boleh mengetahui keadaan sebenar selepas 24 hingga 48 jam,” katanya.-AGENSI










