Purrfect Run 2026 tarik 10,000 peserta, semarak gaya hidup sihat

Purrfect Run 2026 tarik 10,000 peserta, semarak gaya hidup sihat

Beberapa tetamu kehormat (VIP) turut hadir memeriahkan dan menyempurnakan pelepasan peserta Perfect Run Shah Alam, yang berjaya menghimpunkan ribuan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 10,000 peserta membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam sempena penganjuran Purrfect Run 2026 yang berlangsung meriah pada 14 Jun lalu.

Program anjuran Absolute Wellness itu bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah turut mengangkat mesej kebajikan haiwan khususnya dalam kalangan pencinta kucing.

Acara berkenaan menjadi antara tarikan utama dalam program Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam (SAHTK) Jun 2026 yang diadakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi program Run with Airforce serta Larian Rakan Muda.

Suasana meriah bermula seawal pukul 7 pagi apabila peserta disajikan dengan persembahan pancaragam tentera sebelum menyertai sesi pemanasan badan secara beramai-ramai.

Majlis pelepasan peserta pada pukul 7.30 pagi disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zabidah Safar bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Wakil jawatankuasa penganjur Absolute Wellness, Nur Natasya Azhar berkata, penganjuran program bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat di samping memberi peluang kepada pemilik haiwan peliharaan meluangkan masa berkualiti bersama kucing mereka.

“Purrfect Run 2026 diwujudkan sebagai platform untuk menghubungkan komuniti melalui aktiviti sihat dan menyeronokkan selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebajikan haiwan.

“Kami amat berbesar hati melihat sambutan luar biasa yang diberikan oleh masyarakat terhadap program ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain acara larian, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk saringan kesihatan oleh KPJ Healthcare dan pameran taktikal interaktif TUDM yang mendapat perhatian pengunjung.

Peserta juga menikmati pelbagai kemudahan dan hidangan yang disediakan termasuk minuman daripada trak Milo, gerai makanan tempatan serta stesen ais krim Nestlé yang menambahkan kemeriahan suasana.

Penganjuran program berjaya menggabungkan elemen kesihatan, rekreasi dan kebajikan haiwan dalam satu acara komuniti berskala besar.

Absolute Wellness turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan rakan media yang membantu menjayakan Purrfect Run 2026.

Organisasi yang berpangkalan di Selangor itu komited meneruskan usaha mempromosikan kesejahteraan holistik melalui pelbagai program komuniti, inisiatif kecergasan dan aktiviti pendidikan pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN