GERIK: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 74, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, berhampiran Kampung Padang Jeri, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam kejadian sekitar pukul 9 malam itu, pemandu kereta jenis Proton Waja berusia 65 tahun cedera dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan kenderaan dipandu mangsa dengan sebuah kereta Proton Persona dipandu wanita berusia 29 tahun dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun.
“Ketika kejadian, kereta Proton Waja bergerak dari arah Kuala Kangsar menuju ke Gerik dengan Proton Persona di belakangnya manakala Toyota Hilux pula dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati Proton Waja tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bahagian sisi kanan Toyota Hilux.
“Proton Waja itu kemudiannya berpusing masuk semula ke laluannya sebelum melanggar Proton Persona yang berada di belakang,” katanya di sini hari ini.
Abdul Samad berkata, akibat pelanggaran itu, Toyota Hilux terbabas dan terbalik separuh di atas penghadang jalan manakala Proton Waja dan Proton Persona berhenti di laluan arah Kuala Kangsar ke Gerik.
Katanya, penumpang Proton Waja berusia 59 mengalami kecederaan pada muka dan kaki kanan, manakala pemandu Toyota Hilux cedera pada bahagian leher.
“Pemandu dan penumpang Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis sedang berusaha mengesan saksi bebas selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis,” katanya. – UTUSAN










